fbpx

Pelajar kolej didakwa mabuk, langgar maut pekerja sub kontraktor DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Lo Yen Hue, 24, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian kepada pekerja sub kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh Lo Yen Hue, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, Yen Hue didakwa sebagai pemandu kereta jenis Toyota Sienta telah memandu kenderaan itu di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan bahan itu dalam badan didapati sebanyak 184 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) kandungan darah.

Ia melebihi 134mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah yang mana tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kematian kepada pekerja subkontraktor DBKL, Yap Kwee Chee, 74.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching menghala Batu Caves di sini pukul 3.15 pagi pada 12 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman
penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 selain hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, K.A Ramu merayu agar kadar ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Amanina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu pada 12 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, seorang pekerja sub kontraktor DBKL yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Kuching berhampiran bulatan Kepong.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi, mangsa yang berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta Toyota Sienta dengan pekerja sub kontraktor DBKL.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta Toyota Sienta yang dipandu dari arah pusat bandar dan ketika lokasi kejadian telah mengubah haluan ke kanan lalu melanggar kon-kon serta lori termasuk mangsa yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok kecil di pembahagi jalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI