SEREMBAN – Lima individu termasuk tiga lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 14,056 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen sah pada 11 Jun lalu.
Bagaimanapun kesemua lima tertuduh iaitu dua warga tempatan, K.Ramachandran, 41, Wong Yu Yang, 34, serta tiga warga Bangladesh, Sahabiddin Sheikh, 46, Md Mosharaf Hossain, 37, dan Jahidul Islam, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu 14,056 kg minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.
Ia melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4.16 petang di premis tanpa nama di Jalan Industri Galla 1, Galla Industrial Park pada 11 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azmil Aspara menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi tertuduh tempatan serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat KPDN Putrajaya dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE














