TUMPAT – Cubaan sindiket penyeludupan untuk menjenamakan sebanyak 8,800 helai kain batik seludup bernilai RM1.76 juta kepada batik bermutu tinggi dari Terengganu gagal selepas lori yang membawa kesemua barangan tersebut ditahan di Kampung Simpangan di sini semalam.
Pemandu lori berusia 33 tahun itu dicekup kira-kira pukul 7.30 pagi selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan pemerhatian dari udara menggunakan dron di pangkalan haram Nibong di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemerhatian mendapati, sebuah lori jenis Isuzu Hicom memasuki pengkalan haram berkenaan sebelum sebuah perahu yang membawa beberapa guni dari arah Thailand menuju ke kawasan tersebut.
Katanya, beberapa lelaki dilihat memunggah guni dari perahu ke bahagian belakang lori sebelum kenderaan tersebut bergerak keluar dari pangkalan haram itu.
“Anggota PGA menahan suspek di Kampung Simpangan di sini sebelum mendapati lori tersebut membawa sebanyak 8,800 helai kain batik bernilai RM1.76 juta.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek bekerja sebagai pemandu lori dan menerima upah sebanyak RM50 daripada seorang lelaki dikenali sebagai Faiz untuk membawa kesemua barangan tersebut.
“Kain batik tersebut akan dihantar ke sebuah rumah di kawasan Pasir Tumboh, Kota Bharu sebelum dipasarkan sebagai kain batik bermutu tinggi dari Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek bagaimanapun tidak mempunyai maklumat lokasi kain batik tersebut akan dipasarkan.
Menurutnya, suspek dan kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pengkalan Kubor di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














