KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer Aisha Retno mengakui berdepan tekanan apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai panel juri program realiti nyanyian, Big Stage X Rocketfuel.
Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aishah Retno Sayed Sipulijam, 26, bagaimanapun terbuka menerima sebarang kritikan termasuk pertikaian terhadap kredibilitinya dalam mengadili peserta.
“Saya terima dengan hati yang sangat terbuka. Kritikan semua sudah jadi alah bisa tegal biasa buat saya.
“Apa sahaja saya terima, saya cuba hadam dan ambil sisi positif. Tugas saya sebagai juri hanya untuk membantu.
“Kalau ada kesilapan sepanjang minggu, saya sebagai juri juga berhak ditegur,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Tidak Adil itu mengakui masih dalam proses pembelajaran meskipun hampir lapan tahun mengemudi karier seni.
“Saya bukanlah terlalu lama dalam industri, tetapi juga bukan baharu. Saya masih belajar daripada setiap proses.
“Misi kami sebagai juri adalah mencari pelapis baharu untuk mewarnai industri muzik agar lebih luas dan segar,” ujarnya pada sidang media program tersebut di sini, malam tadi.
Dalam masa sama, Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) itu tidak menafikan perasaan gementar saat menerima tawaran berkenaan, apatah lagi perlu dibandingkan dengan barisan juri berpengalaman sebelum ini.
“Sejujurnya saya agak tertekan apabila dilamar menjadi juri. Saya ambil masa lama untuk fikir kerana jadual kerja juga sangat padat tahun ini.
“Selain itu, tekanan untuk dibandingkan dengan juri profesional sebelum ini memang ada. Namun bagi saya, juri juga boleh belajar daripada peserta.
“Saya akan kongsikan segala ilmu. Lapan tahun dalam industri, sudah tentu saya akan ‘tumpahkan’ pengalaman sepanjang bergelar penyanyi,” jelasnya.
Ditanya mengenai pendekatan penjurian, Aisha memilih untuk tampil sebagai diri sendiri tanpa terlalu keras atau terlalu lembut.
“Saya hanya akan jadi diri sendiri. Saya boleh santai dan menyeronokkan, tetapi sebagai juri saya perlu neutral.
“Kalau persembahan bagus, saya akan puji. Kalau kurang, saya akan bantu bina dan motivasikan supaya jadi lebih baik,” tutupnya
Selain Aisha, penyanyi Hael Husaini dan Akim Ahmad turut menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap program tersebut.
Seramai 10 peserta bakal berentap bagi merebut gelaran juara termasuk Sufie Rose, Filo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie bermula 28 Jun ini. – KOSMO! ONLINE














