PENGENDALI Sri Pahang, Christophe Gamel seakan sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang aksi Liga Super musim ini dan akan bersikap terbuka untuk menerima kritikan daripada peminat.
Dengan transformasi yang sedang dilakukan pasukan ketika ini, Gamel merasakan Sri Pahang memerlukan sedikit masa untuk menempatkan kelab ini di landasan tepat untuk bersaing dengan pencabar lain.
“Permulaan musim sentiasa optimistik tetapi saya berpijak di bumi nyata. Saya seorang yang realistik, SPFC telah mengharungi dua musim yang sukar jadi perlu berhati-hati, menyediakan pemain dengan pemikiran yang sama.
“Keputusan akan hadir, sudah tentu. Memandangkan ia satu kumpulan yang baru dengan banyak penambahan, hanya masa akan membantu untuk menjadikan mereka pasukan yang lebih baik.
“Saya tahu kritikan akan sentiasa ada tetapi kami fokus hanya pada diri kami bagaimana mahu meningkat dan terus mengorak langkah kerana kami menyedari betapa sukarnya musim lalu,” katanya.
Skuad Tok Gajah dijadualkan bertemu Terengganu FC di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.
Di sebalik isu kecederaan yang sedang menghimpit pasukan, Gamel nyata puas melihat komitmen pemain yang tidak terlalu manja sebaliknya kekal dengan mentaliti positif untuk berada dalam keadaan bersedia.
“Saya perlu mengatakan semangat sepasukan dalam kalangan pemain adalah cukup tinggi, semua tidak sabar untuk mewakili pasukan dan memberikan yang terbaik tidak kira apa situasi yang telah dan sedang dilalui.
“Masih ada pemain yang cedera tetap seperti saya kata semangat mereka tinggi,” katanya.














