fbpx
Dr. Azizan Osman mengingatkan bahawa masyarakat perlu lebih matang dalam menilai perjalanan sesebuah perusahaan mikro.

‘Seorang mentor tunjuk jalan, pegang stereng tetap ‘driver’ syarikat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Ketika budaya media sosial semakin dipenuhi dengan kecenderungan menghukum berdasarkan episod kegagalan, usahawan terkenal, Datuk Wira Dr. Azizan Osman mengingatkan bahawa masyarakat perlu lebih matang dalam menilai perjalanan sesebuah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana kejatuhan bukanlah pengakhiran kepada sebuah perniagaan.

Percaya kegagalan itu sebahagian daripada realiti, kata Azizan, 52, apa yang lebih membimbangkan hari ini adalah wujud budaya yang terlalu cepat menghukum apabila sesebuah syarikat berdepan cabaran.

“Ramai tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik tabir, tekanan yang ditanggung oleh pemilik syarikat, keputusan sukar yang terpaksa dibuat serta pengorbanan yang dilakukan untuk mempertahankan perniagaan dan mata pencarian ramai pekerja.

“Ramai hanya melihat apabila sebuah syarikat jatuh, tetapi mereka tidak melihat berapa lama syarikat itu dibina, berapa banyak kegagalan yang telah dilalui sebelum berjaya, berapa ramai pekerja yang bergantung kepada syarikat itu dan berapa ramai ahli keluarga yang sama-sama berkorban sepanjang perjalanan tersebut,” kata Pengerusi Eksekutif RichWorks International Sdn. Bhd. itu dalam satu kenyataan. 

Lebih 200 usahawan kini mengikuti Inner Circle Meeting (ICM) Johor yang memberi fokus kepada transformasi kepimpinan, pembinaan sistem perniagaan, strategi pertumbuhan dan penyelesaian isu sebenar yang sedang dihadapi syarikat masing-masing supaya mereka lebih bersedia menghadapi perubahan landskap ekonomi dan industri.

Bukan itu saja, penulis 14 buku antarabangsa bersama bapa marketing moden, Philip Kotler dan pengasas firma perkhidmatan profesional Indonesia, PenMCorp (MarkPlus) dalam konsultasi pemasaran, marketing consulting, penyelidikan dan latihan, Bapak Hermawan Kartajaya turut berkongsi insight terbaru yang boleh membantu usahawan pada waktu ini.

Tambah beliau, apabila sesebuah syarikat berdepan masalah, kesannya bukan sekadar kepada pemilik, malah turut melibatkan pekerja, pembekal, pelanggan dan keluarga yang bergantung kepada kelangsungan perniagaan tersebut. Justeru, setiap komen atau persepsi yang disebarkan tanpa fakta juga memberi kesan kepada ramai pihak yang tidak bersalah.

“Sepanjang hampir dua dekad membimbing komuniti usahawan, saya tidak pernah melihat sebuah syarikat gagal hanya kerana satu faktor kerana prestasi sesebuah perniagaan dipengaruhi oleh gabungan pelbagai perkara termasuk perubahan ekonomi, aliran tunai, persaingan pasaran, teknologi, kepimpinan organisasi, disiplin pelaksanaan serta keputusan yang dibuat oleh driver kepada syarikat itu sendiri.

“Ramai mencari siapa yang hendak dipersalahkan apabila sebuah syarikat jatuh, sedangkan soalan yang lebih penting ialah apa yang telah berubah dalam pasaran, apa keputusan yang telah dibuat oleh syarikat dan sejauh mana driver kepada syarikat itu bersedia berubah apabila dunia di sekelilingnya berubah,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa seorang mentor tidak pernah mempunyai kuasa untuk menjamin seseorang usahawan akan berjaya sepanjang hayat kerana dunia perniagaan sentiasa berubah. Namun, peranan mentor adalah membina cara berfikir, kepimpinan, disiplin, strategi dan daya tahan supaya seseorang usahawan mempunyai keupayaan untuk bangkit apabila diuji.

“Seorang mentor boleh menunjukkan jalan, tetapi yang memegang stereng tetap driver kepada syarikat itu sendiri kerana setiap keputusan berkaitan operasi, kewangan, pengambilan pekerja, pelaburan dan hala tuju syarikat akhirnya ditentukan oleh pemilik serta barisan kepimpinan organisasi.

“Sebab itu RichWorks sentiasa memberi penekanan bahawa transformasi sesebuah syarikat bermula daripada transformasi driver kerana apabila pemimpin berubah daripada segi cara berfikir, disiplin, kepimpinan dan keberanian membuat keputusan, organisasi juga akan mula berubah.

“Cabaran sebenar PMKS hari ini bukan semata-mata ekonomi, tetapi apabila driver kepada syarikat berhenti belajar sedangkan pelanggan berubah, teknologi berubah dan pasaran berubah setiap hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN