SUBANG JAYA – Polis menahan dua lagi lelaki tempatan termasuk seorang bekas anggota polis bagi membantu siasatan kes culik seorang lelaki, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan di sekitar kawasan Selangor dan direman selama 10 hari sehingga 31 Julai ini.
“Salah seorang daripada suspek merupakan bekas anggota polis yang telah dikenakan tindakan pecat berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini hari ini.
Kumar berkata, pasukan polis turut menahan mangsa dalam kes berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.
“Hasil siasatan lanjut oleh JSJ dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, kita mengenal pasti elemen atau sindiket yang terlibat dalam pengedaran dadah.
“Susulan itu, JSJN Bukit Aman telah membuat tangkapan ke atas mangsa di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK),” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan kes masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan sebenar semua pihak yang terlibat.
Mengulas latar belakang mangsa, Kumar berkata, polis setakat ini tidak dapat mengesan pekerjaan tetap mangsa berdasarkan semakan rekod perkhidmatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu, katanya, semakan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah komersial.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebahagian daripada suspek yang ditahan sebelum ini mempunyai rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah kekerasan.
“Malah, semasa tangkapan awal dibuat, beberapa individu termasuk mangsa didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan enam individu ditahan selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.
Kumar berkata, polis menerima laporan berhubung penculikan itu daripada isteri mangsa pukul 1.30 pagi pada 17 Julai lalu.
Katanya, pasukan serbuan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 1 pagi keesokan harinya.
Enam individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun.
Kumar berkata, pasukan serbuan turut menemukan dan merampas pelbagai jenis dadah, sejumlah telefon bimbit dan beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kesemua tangkapan direman selama 10 hari di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 bermula semalam. – KOSMO! ONLINE














