fbpx
Gambar hiasan

MBSB Bank sokong pengembangan Mydin RM105 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – MBSB Bank Berhad meluluskan pembiayaan patuh syariah berjumlah RM105 juta kepada Mydin Wholesale Cash and Carry Sdn. Bhd. bagi menyokong pengembangan rangkaian peruncitan Kumpulan Mydin.

Pakej pembiayaan tersebut merangkumi pembiayaan untuk pengambilalihan hartanah pasar raya besar sedia ada di Sandakan, Sabah; pembangunan pasar raya besar baharu bersaiz sederhana di Tanah Merah, Kelantan; serta keperluan modal kerja dan pembiayaan sampingan.

Pasar raya besar baharu di Tanah Merah akan dilengkapi ciri operasi yang lebih cekap dan menjimatkan tenaga, mencerminkan komitmen Mydin terhadap amalan perniagaan mampan.

Ini bakal meningkatkan keselesaan pelanggan serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan peruncitan moden di daerah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, peranan pihaknya sebagai sebuah institusi kewangan melangkaui penyediaan pembiayaan semata-mata.

“Kami berusaha untuk menjadi rakan jangka panjang kepada perniagaan yang mempunyai asas kukuh dan hala tuju pertumbuhan yang jelas.

“Mydin telah membina jenama yang dipercayai sepanjang tiga dekad yang lalu dan kami berbesar hati untuk menyokong pengembangannya yang berterusan dalam memberikan nilai lebih besar kepada pelanggan dan masyarakat di seluruh Malaysia.

“Pembiayaan ini mencerminkan komitmen MBSB Bank untuk menyokong perniagaan tempatan yang memacu kemajuan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh rantaian bekalan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN