fbpx

Pengarah syarikat ditahan kes suapan RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seorang pengarah sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki memberi suapan berjumlah RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menurut sumber, suapan tersebut dipercayai diberikan lelaki berusia 63 tahun itu kepada pegawai dan kakitangan terlibat bagi membantu syarikatnya mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan keretapi dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand.

“Penahanan ke atas suspek dibuat kira-kira pukul 3.10 petang tadi di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Permohonan reman akan dibuat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok,” katanya di sini hari ini.

Kes itu dipercayai berlaku pada 2016 dan 2017 dan pihak SPRM masih menyiasat jumlah individu yang menerima rasuah tersebut.

Tambahnya, setakat ini SPRM telah menggeledah pejabat dan rumah suspek.

“Pada masa sama, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan saksi-saksi terlibat.

“Percakapan suspek turut dirakam bagi mendapatkan maklumat awal berkaitan saksi-saksi terlibat,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI