fbpx

Malaysia ‘mandi peluh’ tundukkan Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA menepati ramalan apabila berjaya meraih mata buat skuad Malaysia meskipun tewas pada set pertama kepada pemain ranking No.343, Hatano pada kejohanan BATC malam tadi.

SKUAD badminton lelaki kebangsaan memastikan Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menang 3-2 ke atas Jepun malam tadi.

Bagaimanapun, Malaysia berdepan detik cemas apabila dipaksa berhempas pulas sebelum memastikan kemenangan tersebut bagi melayakkan diri ke pentas separuh akhir sebagai juara Kumpulan B.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, pasukan negara memulakan saingan dengan langkah kanan menerusi perseorangan lelaki No.1, Lee Zii Jia yang menewaskan Riku Hatano 15-21, 21-6, 21-15.

Meskipun bermula agak goyah apabila tewas pada set pertama, namun juara kejohanan Seluruh England (All England) itu bangkit dengan permainan lebih meyakinkan dalam dua set berikutnya sebelum menang ke atas pemain No.343 dunia tersebut.

“Semua orang tahu angin agak kuat di sini, jadi ia menyebabkan saya buat banyak kesilapan mudah pada set pertama. Tambahan pula, gaya permainan Hatano seakan-akan (Kento) Momota.

“Bagi saya, ini bukanlah permainan terbaik tetapi saya tetap gembira kerana masih mampu untuk tangani tekanan ketika berada di atas gelanggang,” kata Zii Jia kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Bagaimanapun, langkah positif itu tidak dapat diteruskan oleh beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila kecundang kepada beregu yang berada pada ranking ke-857 dunia, Ayato Endo-Yuta Takei 21-23, 16-21.

Kemudian, Aidil Sholeh Ali Sadikin menjadi mangsa seterusnya selepas tewas 21-19, 16-21, 15-21 kepada Koo Takahashi dalam aksi perseorangan lelaki kedua bagi membolehkan Jepun mendahului perlawanan 2-1.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyamakan kedudukan 2-2 selepas menang 17-21, 21-17, 21-17 ke atas Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida sebelum Leong Jun Hao memastikan kemenangan Malaysia dengan menewaskan Koshiro Moriguchi 21-18, 21-16. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI