SEBELUM ini, peminat sukan berbasikal yang ingin melakukan aktiviti itu di kawasan yang agak jauh dari kawasan kediaman mereka terutamanya di negeri lain terpaksa membawa basikal menggunakan kenderaan sendiri.
Ini kadang-kadang melecehkan lebih-lebih lagi melibatkan kumpulan berbasikal yang mempunyai ahli yang ramai.
Kini ada berita baik selepas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan koc khas untuk memuatkan basikal dikenali XKB yang disediakan bagi menuju ke destinasi pilihan untuk kayuhan.
Program ini membolehkan peminat-peminat sukan berbasikal di Lembah Klang menerokai destinasi-destinasi menarik yang lain di luar ibu kota.
Koc basikal yang disediakan itu asalnya ialah koc tempat duduk penumpang yang telah diubah suai untuk memuatkan 60 buah basikal.
——————————————————————————————————————————————————–
SUASANA di platform 4, Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lumpur pada hari itu ternyata berbeza daripada hari-hari sebelumnya.
Seawal pukul 6 pagi, platform tersebut telah dipenuhi dengan orang ramai yang membawa sekali basikal milik mereka.
Di satu sudut pula kelihatan beberapa orang lelaki sedang menyusun satu per satu basikal di dalam koc khas yang disediakan.
Fariz Jamil, 33, juga tidak terkecuali menolak basikal miliknya untuk disimpan di koc khas tersebut.
Tujuan dia meletakkan basikalnya di koc khas itu adalah untuk mengikuti program Familiarization Trip Ekspres Koc Basikal (XKB) yang dianjurkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
XKB merupakan satu perkhidmatan terbaharu yang membolehkan para peminat sukan berbasikal membawa basikal mereka ke dalam koc khas yang disediakan bagi menuju ke destinasi pilihan untuk kayuhan.
Bagi program pengenalan XKB baru-baru ini, sekumpulan penggemar aktiviti berbasikal dari Lembah Klang dibawa menaiki tren XKB menuju ke Tanjung Malim, Perak untuk melakukan aktiviti berbasikal di situ.
“Program ini membolehkan peminat-peminat sukan berbasikal di Lembah Klang menerokai destinasi- destinasi menarik yang lain di luar ibu kota. Ini pengalaman pertama saya berbasikal di Tanjung Malim,” katanya kepada Panorama.

BASIKAL-BASIKAL diletakkan pada peralatan khusus untuk memastikan kestabilan di dalam gerabak.
Fariz menyifatkan perkhidmatan XKB yang dilaksanakan oleh KTMB itu merupakan satu inisiatif yang baik dan amat ditunggu-tunggu oleh peminat aktiviti berbasikal.
Menurutnya, kebiasaannya setiap minggu kawasan di Lembah Klang sentiasa dipenuhi dengan kumpulan-kumpulan yang menjalankan aktviti berbasikal bersama-sama.
“Kadangkala bosan juga apabila setiap minggu berkayuh di kawasan yang sama. Sukar untuk kami menerokai kawasan-kawasan yang lebih jauh kerana kekangan jarak.
“Namun, apabila KTMB menawarkan perkhidmatan ini, ia memberi peluang kepada peminat aktiviti berbasikal untuk berkayuh di kawasan yang lebih jauh,” jelasnya.
Tambahnya, dengan tersedianya koc basikal itu, ia juga memudahkan untuk mereka membawa basikal bersama jika mempunyai perancangan berkayuh di luar Lembah Klang.
Seorang penggemar berbasikal, Dr. Razul Ikmal Ramli menyatakan pelaksanaan perkhidmatan XKB akan menggalakkan lagi penglibatan masyarakat dalam aktiviti berbasikal.
Menurutnya yang juga Setiausaha Persatuan Mata Hati, aktiviti berbasikal adalah satu bentuk riadah yang dapat mempromosikan green mobility sekali gus dapat mengekalkan kehijauan alam sekitar.
“Aktiviti berbasikal ini tidak melibatkan pelepasan karbon berbanding aktiviti lain seperti bermotosikal atau berkereta.
“Jadi, aktiviti ini memberi kesan yang baik kepada alam sekitar. Malah, dengan aktiviti ini juga peminat basikal tidak perlu memandu jauh untuk berkayuh di tempat-tempat yang menarik,” katanya.
Selain itu, Razul Ikmal menambah, kemudahan yang disediakan sangat tersusun, malah KTBM juga menyediakan laluan khas untuk orang ramai menolak basikal menaiki XKB.
“Kemudahan ini turut membantu mempromosi aktiviti pelancongan di kawasan destinasi. Misalnya, pada penyertaan program kali ini sedikit sebanyak dapat mempromosi kawasan Tanjung Malim dan peserta boleh melihat keindahan alam semula jadi yang ada di kawasan ini,” katanya.
Pada program baru-baru ini, para peserta dibawa menaiki XKB dari Stesen KTMB Kuala Lumpur ke Stesen KTMB Tanjung Malim.
Apabila tiba di sana, peserta memulakan aktiviti berbasikal sejauh 49 kilometer (km) dengan melalui beberapa lokasi di sekitar Tanjung Malim antaranya Sungai Bil, Behrang Ulu dan Sungai Dara.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, perkhidmatan XKB yang ditawarkan oleh pihaknya itu khas buat peminat tegar aktiviti berbasikal.
Menurutnya, XKB akan membolehkan penggemar sukan berkenaan membawa basikal mereka ke dalam koc yang disediakan secara sewa khas untuk menuju ke destinasi pilihan bagi kayuhan.
“Peminat tegar aktiviti berbasikal ini biasanya ingin kayuh di destinasi lain dan kemudian pulang ke tempat mereka. Oleh itu, perkhidmatan ini akan memberikan pengalaman baharu dan unik kepada peminat tegar aktiviti tersebut,” katanya.

MOHD. RANI HASHIM melancarkan Ekspres Koc Basikal (XKB) baru-baru ini sekali gus menyemarakkan lagi aktiviti berbasikal di negara ini.
Tambahnya, selain itu, perkhidmatan tersebut juga dapat memenuhi permintaan penumpang yang ingin mengimbau perjalanan menggunakan perkhidmatan lokomotif diesel berbanding perkhidmatan kereta api elektrik kerana gerabak yang digunakan ialah jenis lokomotif lama itu.
Jelasnya, dengan adanya perkhidmatan itu, para penggemar berbasikal boleh menerokai lokasi berbasikal yang menarik di sepanjang laluan tren KTBM.
“Malah, mereka juga boleh menerokai dan berbasikal termasuk di Thailand kerana kami turut menjalinkan kerjasama dengan State Railway of Thailand,” katanya.
Dalam pada itu, XKB juga diperkenalkan sebagai tanda sokongan KTMB kepada kempen Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat Malaysia sebagai keutamaan melalui gaya hidup sihat.
Mohd. Rani Hisham berkata, koc basikal yang disediakan itu asalnya ialah koc tempat duduk penumpang yang telah diubah suai untuk memuatkan 60 buah basikal.
“Buat masa ini, terdapat tiga koc basikal tersedia untuk digunakan. Basikal yang dibawa akan diletakkan pada peralatan khusus bagi memastikan basikal berada dalam keadaan stabil semasa tren bergerak.
“Turut disediakan dalam pakej XKB ini ialah koc ADNS (Air-conditioned Day/Night Second) atau kos tempat duduk yang boleh memuatkan 60 orang penumpang,” katanya.
Selain koc basikal dan koc ADNS, terdapat beberapa lagi koc yang disediakan untuk disewa khas,iaitu koc santai, koc persidangan, koc selun khas dan koc bufet.

Kesemua koc ini mempunyai fasiliti berbeza dan ia boleh disediakan sekali dengan koc basikal mengikut permintaan pelanggan.
Harga sewaan koc basikal bergantung kepada laluan tren atau jarak perjalanan dipilih pelanggan.
“Harga yang kita tawarkan untuk perkhidmatan ini adalah harga yang munasabah dan berpatutan.
“Selain itu, kami juga sedia bekerjasama dengan pihak pengurus acara atau penganjur bagi merealisasikan hasrat peminat tegar berbasikal yang ingin menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.















