fbpx
Gambar hiasan

Wanita rugi RM33,800 ditipu pelaburan mata wang digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM33,800 lesap dipercayai akibat ditipu sindiket pelaburan mata wang digital yang tidak wujud melalui media sosial.

Wanita berusia 41 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas melayari laman sosial dan melihat iklan yang menawarkan pelaburan mata wang digital dengan keuntungan 400 peratus dari jumlah modal dalam tempoh sebulan pada 10 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa telah melakukan tujuh transaksi yang berjumlah RM33,800.00 ke dalam dua akaun bank yang diberikan pada 28 hingga 30 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat semakan ke atas akaun e-wallet miliknya yang mempunyai jumlah wang sebanyak RM147,114.00 namun tidak dapat dikeluarkan pada 15 Januari lepas.

“Mangsa dijemput masuk ke dalam platform Telegram dan diberi pautan ke sebuah laman web yang menerangkan berkenaan pendaftaran dan pelaburan mata wang digital.

“Mangsa telah berurusan dengan pihak khidmat pelanggan pelaburan tersebut dan diarahkan untuk membuat bayaran sebanyak RM29,423.00 sebagai wang jaminan sebelum wang tersebut dikeluarkan.

“Merasakan dirinya tertipu, mangsa telah membuat satu laporan polis pada 26 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahidisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

POPULAR