fbpx

Bunuh: Dua lelaki berdepan hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
N. Mageswaran (kanan) dan M. Anbu (kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret Tapah, Perak, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, September tahun lalu. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

TAPAH – Dua sekawan berhadapan hukuman mati di tali gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, September tahun lalu.

N. Mageswaran, 31, dan M. Anbu, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mageswaran dan Anbu didakwa secara bersama-sama membunuh D. Gunasealan, 30, di kolam ikan Kampung Poh, Bidor antara pukul 2 hingga 7.30 pagi, 13 September 2021.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria dengan Anbu diwakili peguam, J. Gunamalar manakala Mageswaran tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Mahkamah turut membenarkan Anbu mendapatkan rawatan perubatan kerana mengalami sakit kaki.

Media pada Rabu lalu melaporkan, mayat seorang lelaki yang menjadi mangsa culik September tahun lalu, ditemui ditanam di sebuah kebun kelapa sawit di Bidor.

Penemuan mayat terbabit susulan tangkapan ke atas seorang daripada suspek di hentian rehat dan rawat (R&R) Dengkil, Selangor, pada 11 Januari lalu diikuti suspek kedua keesokkan harinya di Taiping. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI