NAMA Aznalna Nasir tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan pelakon cantik manis ini sentiasa diburu pengarah dan produser yang inginkan khidmatnya dalam naskhah mereka.
Apabila membuat keputusan untuk berhijab September lalu, bukan satu atau dua, tetapi dia dihujani berpuluh-puluh tawaran untuk menjadi duta pelbagai produk terutamanya tudung.
Semua tawaran itu tidak dibalasnya kerana berasakan dirinya masih belum bersedia. Bukanlah mahu menolak rezeki, namun Anzalna menjelaskan, dia memerlukan masa untuk perjalanan rohani yang disifatkan begitu peribadi.
Apa yang tidak boleh dilupakan, menurut selebriti ini, tawaran untuk menjadi ‘wajah’ produk tudung Loveta yang diusahakan oleh Allahyarham Siti Sarah Raisuddin hadir pada waktu tepat, iaitu beberapa bulan selepas Anzalna berhijab.
Malah, Anzalna sanggup menolak tawaran menjadi duta produk tudung jenama lain demi terlibat dengan kempen Loveta X Anzalna.
———————————————————————————————————————————-
SATU perkara tentang Anzalna Nasir, hijab tidak pernah mengubah lentok manjanya saat berdepan dengan sesiapa. Lama tidak bertemu mata, hanya satu aspek gayanya sahaja yang berubah.
Dia masih terlihat ‘mahal’ seperti biasa, namun tetap murah dengan senyum dan ramah mesra.
Mula berhijab sejak September tahun lalu, wanita berusia 34 tahun itu mengakui, perlu mengambil masa untuk melakukan lebih banyak perubahan, bukan hanya penampilan fizikal terlihat pada mata kasar.
Biarpun imejnya sudah berubah mengikut landasan fesyen seorang muslimah, namun keanggunan dan aura seorang bintang yang dibawa pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md. Nasir, tidak pernah berubah.
Oleh sebab itu, meski sudah beberapa bulan berhijab, masih terdapat gambarnya tidak berhijab yang belum dipadamkan Anzalna dalam akaun sosial medianya.
“Kita bukan boleh berubah sekelip mata. Ada sesetengah gambar saya tidak dipadam kerana masih ada kontrak dengan jenama tertentu.
“Seperti saya katakan, berhijab bukan bermaksud bertudung sahaja, tetapi segalanya perlu berubah. Harus jaga solat, hati, percakapan dan banyak lagi perkara lain.
“Sebagai manusia biasa, saya perlukan masa. Jika ada yang boleh terus berubah drastik syukurlah, tetapi saya perlukan masa. Saya mohon doakan agar saya terus istiqomah,” kata Anzalna.
Seiring dengan perjalanan rohaninya yang mahu berubah menjadi manusia lebih baik, Anzalna mahu membina sebanyak mana amalan kebaikan.
Justeru, sempena kehadiran tahun baharu, Anzalna mahu memberi lebih tumpuan kepada kerja-kerja amal, selain menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga terutama anaknya, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun lebih.

Bintang drama Love You Mr. Arrogant itu bagaimanapun bersyukur, meskipun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, dia masih menerima tawaran lakonan sehingga ke hari ini.
“Tiba masa saya akan kembali berlakon kerana sampai sekarang ada sahaja tawaran lakonan.
Cuma saya mahu beri tumpuan dan habiskan waktu berharga dengan Eidrees.
“Mungkin apabila Eidrees sudah faham kerjaya ibunya, saya akan berlakon semula. Buat masa ini, dia memang inginkan perhatian saya dan suami. Jadi, saya cuba beri sehabis baik buat Eidrees,” tutur Anzalna yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Loveta X Anzalna baru-baru ini.
Beralih bicara tentang rezeki, biarpun kelibatnya sudah lama tidak kelihatan dalam televisyen sejak melahirkan Eidrees, rezeki buat Anzalna tidak pernah putus.
Wajahnya sentiasa menjadi buruan jenama-jenama terkemuka tempatan dan antarabangsa.
Masakan tidak, Anzalna antara ‘pelaris’ produk yang cukup popular.
Begitu juga apabila Anzalna membuat keputusan untuk berhijab September lalu. Bukan satu atau dua, tetapi dia dihujani berpuluh-puluh tawaran untuk menjadi duta pelbagai produk terutamanya tudung.
Semua tawaran itu tidak dibalasnya kerana berasakan dirinya masih belum bersedia. Bukanlah mahu menolak rezeki, namun Anzalna menjelaskan, dia memerlukan masa untuk perjalanan rohani yang disifatkan begitu peribadi.
“Jujurnya, memang banyak sangat tawaran untuk menjadi duta tudung pelbagai jenama tempatan yang saya terima ketika mula berhijab.
“Ada yang hubungi dan menghantar mesej, saya tidak jawab kerana waktu itu masih belum bersedia. Bukan menolak rezeki, tetapi saya berhijab pun bukan kerana mahu jadi duta produk tudung.
“Saya berhijab atas kehendak diri sendiri bukan sebab orang lain, malah suami sendiri pun tidak tahu masa mula-mula memakai hijab. Jadi, saya tidak perlu mendengar kata orang lain,” ujarnya.
Sungguhpun begitu, tawaran untuk menjadi ‘wajah’ produk tudung Loveta yang diusahakan oleh Allahyarham Siti Sarah Raisuddin hadir pada waktu tepat, iaitu beberapa bulan selepas Anzalna berhijab.
Malah, Anzalna sanggup menolak tawaran menjadi duta produk tudung jenama lain demi terlibat dengan kempen Loveta X Anzalna.
Menurut Anzalna , semasa hayatnya, Siti Sarah pernah beberapa kali mahu melamarnya untuk bekerjasama dengan produk kosmetik keluarannya.

Hasrat berkenaan bagaimanapun tidak kesampaian sehinggalah penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos tahun lalu selepas melahirkan anak keempat Ayash Affan dalam keadaan dijangkiti virus Covid-19.
“Arwah Siti Sarah pernah beberapa kali memberi tawaran untuk bekerjasama, tetapi tidak berkesempatan kerana setiap kali tawaran dibuat, saya mesti ada kontrak dengan produk kosmetik lain.
“Tawaran kali ini memang saya tidak boleh tolak, meskipun menerima tawaran daripada produk tudung jenama lain. Saya terpaksa menolak tawaran itu demi menjadi sebahagian daripada Loveta,” kongsi Anzalna.
Tambah Anzalna, hatinya terbuka untuk bekerjasama dengan kempen Loveta X Anzalna kerana mahu membantu mengembangkan legasi yang ditinggalkan oleh arwah Siti Sarah.
Sungguhpun begitu, Anzalna mengambil masa dan berbincang dengan suaminya, Hanif Zaki terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menerima tawaran berkenaan.
Hal ini kerana, Anzalna sedar akan tanggungjawab besar yang harus digalas bagi menggantikan arwah Siti Sarah yang sebelum ini merupakan pemilik serta wajah produk Loveta.
“Mulanya agak sukar untuk saya menerima lamaran ini. Jujur saya ambil masa sebelum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan perniagaan yang selama ini diusahakan arwah.
“Arwah meninggalkan legasi yang cukup besar ketika hayatnya. Jadi, saya bimbang jika kehadiran saya dimarahi peminat arwah.
“Namun, syukur rata-rata menyambut baik dan gembira dengan pengumuman dibuat. Saya tidak menyesal dengan keputusan ini dan sangat gembira dapat membantu menggembangkan jenama tersebut,” tuturnya.
Tambah Anzalna, penggambaran kempen Loveta X Anzalna antara momen yang tidak boleh dilupakannya sepanjang pengalamannya bekerjasama dengan pelbagai jenama.
Hadir ke lokasi penggambaran dengan rasa gembira, namun perasaan gembira tersebut bertukar hiba sehingga Anzalna dan semua yang berada dilokasi penggambaran menitiskan air mata apabila lagu arwah Siti Sarah berkumandang.
“Satu kenangan penggambaran kempen yang tidak boleh saya lupakan, bayangkan datang dalam keadaan gembira, tiba-tiba seluruh set penggambaran bertukar senyap dan sayu sampai menangis,” katanya.















