fbpx

Kes Imam Fadi : PDRM tunggu maklumat pihak terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imam Fadi

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat lanjut dari pelbagai pihak berhubung kes pembunuhan imam dan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr. Fadi Mohammed Al Batsh di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak yang dimaksudkan tersebut melibatkan pihak berkuasa Palestin, Kedutaan Palestin, Polis Antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi di dalam dan luar negara.

“Kita masih menunggu maklumat daripada pihak yang dinyatakan tersebut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kita percaya daripada maklumat tersebut dapat memberi sedikit pencerahan terhadap insiden terbabit,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kosmo! pada Isnin lalu melaporkan, PDRM akan mendapatkan pengesahan daripada sumber-sumber yang sah berhubung dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bahawa pembunuh warga Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh sudah ditangkap oleh pihak keselamatan Gaza.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan yang jelas terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Terdahulu, Muhammad Nadir Al-Nuri dalam hantaran di laman Facebook mendedahkan pembunuh pensyarah warga Palestin tersebut sudah ditahan oleh pihak keselamatan Gaza.

Dakwanya, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit dan perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza sebelum ditangkap.

Pada 21 April 2018, negara digemparkan dengan pembunuhan Dr. Fadi oleh dua lelaki bermotosikal ketika mangsa dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran sekitar pukul 6 pagi.

Mangsa maut selepas terkena 10 das tembakan pada bahagian badan dan kepala. Kejadian tersebut dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI