JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik di sebuah pangsapuri di daerah ini, bulan lalu.
Tertuduh, Fajar Ali, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas mangsa, Mohammad Sallehen Mohd. Safri, 33.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Prima Tebrau Residensi, Jalan Dato’ Sulaiman, di sini antara pukul 7 hingga 8.45 pagi, pada 12 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh yang tidak bekerja itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring berlumuran darah pada pukul 10.50 malam, pada 13 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Assisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebilah pisau di sisi mangsa dipercayai digunakan semasa kejadian.
Difahamkan, mangsa dan suspek baru sahaja berkenalan dan punca kejadian berlaku disebabkan perselisihan faham antara mereka.
Mayat mangsa ditemui rakannya ketika datang ke rumah juruteknik itu setelah mangsa tidak datang bekerja dua hari berturut-turut. – KOSMO! ONLINE














