Gambar hiasan

Yuran naik sebab tampung harga makanan, sewa premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peningkatan yuran tahunan dan bulanan yang mencecah 10 peratus bagi kemasukkan ke tadika-tadika swasta di sekitar Lembah Klang berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk bagi mematuhi gaji minimum pekerja.

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM) Eveleen Ling berkata, kenaikan itu juga adalah bagi menampung harga bahan makanan, alat-alat pembelajaran serta sewa premis yang tinggi.

Katanya, kenaikan yuran tadika pada masa kini juga dipengaruhi keperluan guru-guru menaik taraf kualiti internet di rumah mereka memandangkan ada sesetengah pembelajaran perlu dibuat secara dalam talian.

“Guru memang layak me­nerima gaji yang sepadan dengan kelulusan mereka. Pada masa sama, mereka juga perlu mempunyai sambungan internet yang bagus supaya pembelajaran secara dalam talian boleh berjalan dengan efisien.

“Sekiranya ibu bapa gagal menyelesaikan bayaran yuran mereka, ia akan mendatangkan masalah kepada gaji guru-guru tadika,” katanya kepada Kosmo! .

Eveleen

Ditanya sama ada kenaikan harga bahan makanan turut mempengaruhi kenaikan yuran tadika, Eveleen tidak menolak perkara tersebut dan memaklumkan barangan lain seperti alat tulis turut mencatatkan kenaikan harga.

“Kenaikan harga barang ada memberi kesan kepada yuran tadika. Bagaimana sekolah mampu untuk memberi subsidi apabila alat tulis juga mahal.

“Sekolah perlu membelanjakan wang untuk kerja-kerja pembersihan atau sanitasi premis termasuk membeli cecair pembasmi kuman dan pelitup muka untuk kegunaan murid-murid,” katanya.

Beliau menambah, proses pembelajaran di tadika sentiasa ditambah baik seiring kepada keperluan semasa.

“Sama ada yuran naik ataupun tidak, guru-guru akan sentiasa mencari masa untuk menghasilkan idea-idea baharu supaya pembelajaran anak-anak lebih seronok,” ujarnya.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN