fbpx

Polis Pahang kesan kes buli di tiga sekolah berasrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa menunjukkan kesan lebam pada tangan akibat dipukul senior sebuah sekolah asrama di Pahang.

KUANTAN – Polis telah menerima laporan kes buli melibatkan tiga buah sekolah di negeri ini dalam tempoh empat hari bermula 6 Disember lalu termasuklah melibatkan sebuah sekolah berasrama di Muadzam Shah di Rompin.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pada masa ini siasatan giat dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kesemua pelajar yang terlibat telah dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah terbabit dan tindakan-tindakan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Berdasarkan soal siasat mendapati mangsa menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan juga apabila disedari oleh keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusri.

Semalam Kosmo! melaporkan tidak sampai 24 jam kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di Pahang yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan ‘karung tinju’ oleh sekumpulan senior.

Kejadian itu didakwa berlaku pada Jumaat minggu lalu apabila kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Menurut Mohd. Yusri tiga laporan kes buli itu diterima melibatkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin; Maran dan juga sebuah sekolah berasrama di Lipis.

Katanya, laporan pertama diterima pada 6 Disember lalu daripada seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Muadzam Shah yang mendakwa dipukul senior kerana menyalahguna telefon bimbit hingga mengalami bengkak dan lebam di bahagian badan.

Katanya, laporan kedua diterima pada 10 Disember daripada seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Maran menyatakan dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana dikatakan memotong barisan di dewan makan asrama sehingga mengalami lebam pada bahagian perut.

“Pada 10 Disember juga polis turut menerima laporan daripada seorang pelajar tingkatan dua menyatakan ketika berada di asrama sebuah sekolah di Kuala Lipis telah dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior berpunca kerana dituduh menghisap vape di asrama dan mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak pada bahagian muka,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI