fbpx
Gambar hiasan

JPJ tawar diskaun saman sehingga 80 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pengurangan bayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun) bermula 9 hingga 12 Disember ini.

Pengurangan bayaran saman itu dilaksanakan sempena sambutan Acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Khamis ini.

JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, diskaun bayaran saman itu bagaimanapun tidak terpakai bagi kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Menurutnya, kemudahan bayaran saman itu turut disediakan menerusi kemudahan Unit Mudah Alih JPJ dan Kioks JPJ di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan seluruh pejabat JPJ di seluruh negara.

“Pengurangan kadar kompaun diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003.

“Tawaran itu tidak terpakai bagi kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA),” katanya.

Katanya, tawaran ini turut diberikan kepada semua Notis Saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa, dengan syarat urusan pembayaran tersebut dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu 9 Disember sehingga 12 Disember 2021.

Jelas JPJ lagi, orang ramai adalah disarankan untuk membuat semakan status saman terlebih dahulu, terutama rekod yang melibatkan saman AES (melalui portal mySIKAP JPJ), atau di mana-mana Kaunter Pejabat JPJ. – K! ONLINE

POPULAR