fbpx
Jazmanie menunjukkan kenderaan mewah yang disita JPJ menerusi Ops Luxury baru-baru ini.

G-Wagon Datuk, Vellfire bekas pemain Harimau Malaya disita JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya menerusi Operasi Khas Kenderaan Mewah (Ops Luxury), awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Malaysia, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, sitaan itu dilaksanakan susulan tiga kesalahan yang dikesan ketika pemeriksaan.

Menurutnya, individu tersebut yang memandu MPV jenis Toyota Vellfire ditahan di kawasan Bukit Bintang kira-kira pukul 4 pagi.

“Pemeriksaan mendapati lesen kenderaan motor (LKM) dan perlindungan insurans kenderaan berkenaan telah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu.

“Selain itu, lesen memandu individu itu juga didapati telah tamat tempoh,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Jazmanie berkata, pihaknya turut mengambil tindakan sita ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mercedes Benz Amg (Brabus G-Wagon) milik seorang pakar motivasi terkenal yang mempunyai gelaran Datuk.

Katanya, tindakan sita terhadap kenderaan terbabit diambil ekoran tiada insurans selain pemilik gagal memperbaharui LKM berjumlah RM3,221 sejak 4 Mei 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, JPJ telah merekodkan sebanyak 1,814 buah sitaan kenderaan mewah melibatkan pelbagai jenama sejak tahun lalu.

Katanya, nilai tunggakan LKM tertinggi melibatkan sebuah Porsche 911 Turbo berjumlah RM16,067, manakala sebuah Bentley dikesan paling lama tidak memperbaharui LKM sejak 2023.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 899 sitaan direkodkan pada 2025 manakala 915 sitaan (2026) membabitkan pelbagai jenama termasuk Lamborghini yang dikenal pasti gagal memperbaharui LKM.

“JPJ ingin menegaskan bahawa kegagalan memperbaharui LKM merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan
1987 (Akta 333),” jelasnya.

Beliau menambah, selain melanggar undang-undang, penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah turut mengundang risiko kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana berisiko tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.

“JPJ akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan lapangan serta pengesanan secara digital bagi memastikan setiap pemilik kenderaan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Orang ramai khususnya pemilik kenderaan mewah diseru agar segera membuat semakan dan memperbaharui LKM masing-masing melalui saluran rasmi JPJ termasuk aplikasi MyJPJ dan portal MySikap,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN