fbpx

Lima kes samun selesai dengan penahanan tiga suspek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara hasil samun yang berjaya dirampas polis dalam serbuan pada 22 dan 23 November lalu.

PETALING JAYA – Penahanan tiga lelaki yang aktif melakukan kegiatan pecah masuk rumah dan samun berjaya menyelesaikan lima kes yang dilaporkan di daerah Petaling Jaya sepanjang tahun ini.

Suspek yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga asing itu ditahan pada 22 dan 23 November lalu di tiga lokasi berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 35 tahun memaklumkan rumah sewanya di Kondominium Palm Spring, Kota Damansara telah dipecah masuk.

“Kejadian berlaku pada 6 November lalu pukul 11.35 malam semasa pengadu bersama keluarga ketika sampai di rumah mendapati pintu grill dalam keadaan terbuka dan pintu utama telah diumpil.

“Rumahnya didapati dalam keadaan berselerak dan pelbagai barangan berharga milik pengadu dan isteri telah hilang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah membuat serbuan ke tiga lokasi dan berjaya memberkas ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 29 hingga 39 tahun.

“Kita turut merampas peralatan pecah rumah, barangan elektronik, jam pelbagai jenama, beg, basikal dan sebagainya yang dipercayai hasil kegiatan samun di kawasan daerah ini.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek yang berusia 29 tahun mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah manakala suspek 35 tahun memiliki 18 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Suspek juga mengaku terlibat dalam kes yang dilaporkan termasuk kes samun lain di sekitar daerah ini dan Subang Jaya,” ujarnya.

Jelasnya, tangkapan terhadap suspek telah berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi dalam daerah ini bagi tahun ini dan kesemua suspek akan didakwa di mahkamah pada Jumaat ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI