fbpx

Heboh pil ajaib rawat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Tidak lama dahulu, negara kecoh dengan penggunaan ubat parasit haiwan, Ivermectin yang didakwa dapat merawat Covid-19 walaupun jelas tiada kajian tentang keberkesanan ubat tersebut dalam melawan koronavirus.

Ubat yang namanya pun penulis sendiri tidak pernah mendengarnya sebelum ini, mencetuskan kontroversi dan memeningkan kepala doktor-doktor. Mereka berulang kali menasihati orang ramai tentang bahaya Imervectin terutamanya jika pengambilan berlebihan.

Namun, ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, ubat parasit tersebut terus mendapat permintaan orang ramai yang ‘terpesona’ dengan kisah-kisah ajaib diceritakan di media sosial tentang pengalaman pesakit-pesakit yang sembuh daripada simptom teruk Covid-19 selepas mereka mengambil Ivermectin.

Mungkin ramai sedar dan faham tentang nasihat dan amaran yang disampaikan oleh pegawai-pegawai perubatan tentang risiko Ivermectin tetapi ketika pandemik menggila, orang ramai menjadi begitu terdesak dan mahukan harapan, manakala kisah ajaib Ivermectin mengisi ruang tersebut biarpun tanpa bukti kajian saintifik.

Namun, harapan rakyat marhaen supaya biarlah ada ubat yang boleh digunakan untuk merawat Covid-19 dan mendapat kelulusan doktor-doktor lagi terbukti melalui kajian saintifik kini menjadi realiti.

Pada Khamis lalu, Britain menjadi negara pertama di dunia memberikan lampu hijau kepada penggunaan pil antiviral keluaran syarikat farmaseutikal berpangkalan di Amerika Syarikat, Merck bagi merawat pesakit yang memiliki simptom Covid-19 ringan dan sederhana.

Pil ajaib dinamakan molnupiravir itu berfungsi dengan mengurangkan keupayaan koronavirus untuk ‘membiak’ sekali gus mengekang penyakit tersebut.

Kelulusan tersebut sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan di Britain. Negara itu kini berdepan bukan sahaja risiko gelombang baharu Covid-19 tetapi juga wabak selesema yang melanda semasa musim sejuk.

Britain juga menyaksikan angka kematian Covid-19 melibatkan warga emas dan mereka yang lemah imunisasi badan kembali meningkat. Ini berlaku kerana kesan perlindungan vaksinasi walaupun dos lengkap, berkurangan selepas tempoh enam bulan, menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan serius koronavirus.

Program vaksinasi penggalak atau dos ketiga pula tidak serancak seperti yang diharapkan. Setakat 18 Oktober lalu, hanya 3.7 juta daripada sasaran 30 juta penduduk di seluruh Britain telah mendapat dos penggalak tersebut yang memberikan mereka perlindungan maksimum untuk menghadapi musim sejuk pada tahun ini.

Kehadiran molnupiravir dapat mengurangkan risiko kematian di negara itu sebelum semua penduduk yang layak mendapat dos ketiga menerima pelalian mereka.

Penulis berharap kerajaan kita juga akan meluluskan penggunaan molnupiravir dan pil itu dibenarkan dijual secara over the counter tanpa memerlukan preskripsi. Gabungan normal baharu, vaksinasi dos ketiga dan molnupiravir diharap dapat menghapuskan wabak Covid-19 khususnya di negara ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI