fbpx

Dua penjenayah tidak sempat lari ke Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Amar (tengah) menunjukkan senapang patah jenis Webbly dan Scott yang berjaya ditemui polis. - Foto ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Dua penjenayah termasuk seorang bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang dikehendaki selepas melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire tidak sempat meloloskan diri ke Johor apabila diberkas baru-baru ini.

Penangkapan kedua-dua suspek berusia 41 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 5.15 petang, Jumaat lalu di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Jalan Duta, Kuala Lumpur dekat sini.

Semasa tangkapan dilakukan, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan jenis Honda Civic dinaiki suspek selepas mereka cuba melanggar polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek terdahulu telah memecah rumah dan melarikan Toyota Vellfire selain senapang patah jenis Webbly dan Scott tanpa sebarang peluru selain lapan beg tangan pelbagai jenama.

Katanya, kejadian berlaku pukul 3 petang pada 2 November lalu dengan disedari seorang pengurus stesen minyak apabila mendapati pagar dan pintu rumah bapanya di Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah terbuka sebaik tiba di situ.

“Susulan kejadian tersebut, polis yang melakukan siasatan berjaya menemui Toyota Vellfire tersebut di Blok A bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10.40 malam sehari selepas kejadian.

“Turut ditemui semula adalah selaras senapang patah yang dibuang di kawasan semak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, bertindak maklumat, polis kemudiannya berjaya mengesan kedua-dua suspek yang sedang berehat di dalam kenderaan jenis Honda Civic.

Tambah beliau, semakan mendapati kereta itu masih dilaporkan hilang sejak 29 Oktober lalu di Taman Pelangi, Johor Baharu.

“Ketika ini ditahan, suspek cuba melanggar polis dengan satu das tembakan terpaksa dilepaskan pada tayar kenderaan.

“Seorang anggota polis cedera di tangan kanan dan kaki akibat tindakan agresif suspek,” katanya.

Jelas Shamsul Amar, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek baru pulang dari Jeli, Kelantan dan telah mendapat pembeli Toyota Vellfire berkenaan yang dijual pada harga RM20,000.

“Kita turut merampas lima beg tangan dipercayai daripada kes pecah rumah tersebut, peralatan pecah rumah dan curi termasuk alat peranti elektronik membuka kenderaan.

“Hasil semakan, salah seorang suspek baharu dibebaskan daripada tahanan POCA di Sabah pada Oktober lalu dengan mempunyai 58 rekod lampau selain dikehendaki bagi lima kes,” ujarnya.

Kata beliau, kedua-dua suspek kini direman enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI