SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam menjejak dan menangkap pengasas program eHATI bersama suaminya yang kini berada di luar negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebarang tangkapan terhadap kedua-dua suspek akan dimaklumkan pihak Interpol kepada PDRM.
“Individu-individu yang sedang dicari masih lagi belum ditemui dan kita percaya masih berada di luar Malaysia.
“Namun, tindakan yang sewajarnya telah diambil oleh PDRM untuk memastikan sekiranya dapat dikesan di negara-negara yang berkaitan, tangkapan dapat dijalankan dan dapat membantu pihak PDRM,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Pasangan tersebut sebelum ini telah dikenakan waran tangkap selepas daripada pertuduhan mahkamah dilaksanakan kepada mereka.
Kosmo! pada 14 November tahun lalu, melaporkan pengasas eHATI bersama suaminya yang dikehendaki polis kini berada di sebuah negara di Asia Tenggara.
Hasil semakan mendapati kedua-dua mereka melarikan diri menggunakan laluan sah pada 13 Oktober tahun lalu iaitu sehari sebelum pertuduhan itu.
Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.
Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang merupakan fasilator bagi program tersebut. – KOSMO! ONLINE














