KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang penjenayah buruan warga Jepun yang dikehendaki sejak 2018 berjaya ditahan sebelum dihantar pulang ke negara asalnya, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi Bahagian NCB/Interpol (D12) susulan permohonan pihak berkuasa Jepun yang mengesan suspek melalui Notis Merah Interpol.
Menurutnya, suspek sebelum ini ditahan di Kedah atas kesalahan dadah dan imigresen, namun siasatan lanjut mendapati individu berkenaan merupakan buruan kes pembunuhan di Jepun.
“Suspek dikesan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menukar identiti serta kewarganegaraan kepada warga Myanmar bagi mengelak dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengesahan identiti suspek dilakukan melalui kaedah saintifik termasuk perbandingan cap jari, pengecaman wajah serta padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar ke Bahagian Forensik DNA Databank Malaysia.
“(Hasilnya), disahkan padanan positif dengan profil DNA yang diterima dari negara Jepun,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Alor Setar pada 27 Ogos tahun lalu atas beberapa kesalahan berkaitan dadah dan imigresen sebelum menjalani hukuman penjara.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta memperkukuh kerjasama keselamatan antarabangsa.
“Tindakan ini juga menunjukkan Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan terhadap mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada keadilan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














