PONTIAN – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Kunyai yang aktif melakukan samun dan pecah masuk di daerah ini selepas menahan lima lelaki dalam operasi khas di Iskandar Puteri, 21 April lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, kumpulan itu dikesan terlibat dalam dua kejadian samun di kedai serbaneka iaitu di Pekan Central, Pekan Nanas pada pukul 3 pagi dan di Jalan Taib, Bandar Pontian pada pukul 6 pagi, 18 April lalu.
“Semua suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian bersama Pasukan Task Force Lejang serta dibantu Cawangan D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Ketua kumpulan dikenali sebagai Kunyai berusia 27 tahun dan mempunyai rekod orang dikehendaki berkaitan kes curi kenderaan. Semakan turut mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah serta penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.
Tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta, dua motosikal curi, parang, penukul besi, pemutar skru, pisau boleh laras serta 11 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000. Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














