fbpx

Bajet pulihkan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM332.1 bilion bagi Bajet 2022 dalam usaha Malaysia memulih­kan semula setiap segmen sosioekonomi negara pada tahun depan.

Belanjawan tersebut merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bajet yang dibentangkan kali ini dibuat selepas mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan rakyat serta jangkaan peningkatan hasil kerajaan pada tahun depan iaitu sebanyak RM234 bilion.

“Bajet 2022 menyediakan sejumlah RM332.1 bilion ringgit yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini. Sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

“Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada enam peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) berbanding 6.5 peratus pada 2021.

“Belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera terhasil daripada lebih 30 sesi kumpulan fokus, 1,100 me­morandum dan hampir 50,000 cadangan yang diterima melalui portal Bajet 2022,” kata beliau semasa membentangkan Bajet 2022 setebal 86 muka surat di Dewan Rakyat semalam.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan, manakala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan sebanyak RM14.5 bilion.

Jelas beliau, Bajet 2022 kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara seperti dalam belanjawan-belanjawan sebelum ini.

Tambah beliau, bajet kali ini menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membina daya tahan negara dalam persediaan ke fasa endemik Covid-19.

“Sebagai kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rak­yatnya, peruntukan bagi KKM adalah yang kedua terbesar selepas KPM,” katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara tiga hingga empat peratus tahun ini dan diunjur akan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun depan.

Menurut beliau, unjuran tersebut berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan struktur­nya yang pelbagai serta pertumbuhan ekonomi yang sebelum ini menguncup 5.6 peratus pada 2020 kini telah berkembang 7.1 peratus setakat separuh pertama 2021.

“Walaupun suku ketiga tahun ini dijangka terkesan ekoran PKP ketiga, namun suku keempat dijangka akan kembali pulih apabila hampir kesemua negeri ber­alih ke Fasa Empat serta sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pres­tasi itu masih bergantung kepada faktor-faktor lain antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia.

Bajet 2022 mendokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan dengan matlamat Rakyat Yang Sejahtera, Perniagaan Yang Berdaya Tahan dan Ekonomi Yang Makmur dan Mampan.

Ia merupakan bajet pertama yang dibentangkan di bawah ke­pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI