BENTONG – Kejadian kemalangan yang kerap berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) meresahkan pengguna jalan raya yang bimbang dengan keselamatan mereka apabila melalui kawasan itu.
Rata-rata mangsa kemalangan berasa pelik kerana meskipun tidak memandu laju dan berhati-hati, namun kenderaan mereka terbabas selepas hilang kawalan di kawasan berkenaan.
Kejadian ini membimbangkan kerana apabila sesebuah kenderaan terbabas kadangkala melibatkan pengguna lain yang melalui lebuh raya utama daripada Lembah Klang ke Pantai Timur.
Seorang pengguna media sosial Threads dengan nama samaran @lily_s berkata, dia antara mangsa kemalangan selepas keretanya terbabas di Kilometer 75, KLK ketika dia dalam perjalanan dari Karak ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Turun bukit tak laju pun, tekan brek tiba-tiba kereta skid ke kiri dan berpusing tiga kali sebelum hentam divider. Menggigil pun tak sempat berhenti lagi, tow truck dah sampai tawar nak tow. Pelik sangat sebab kereta tiba-tiba hilang kawalan dan berpusing macam game kereta langgar di fun fair,” katanya.
Ujarnya, dia yang memandu ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan mendapati sebelum itu dua individu membuat laporan mengenai kes kereta terbabas di lokasi berhampiran.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Soffi Mohd. Ishak, 44, berkata, dia begitu berhati-hati apabila melalui lebuh raya itu kerana kereta dipandunya pernah terbabas.
Katanya, semasa kejadian tahun lalu beberapa buah kereta turut terbabas di lokasi yang sama kerana jalan licin dan basah ketika hujan.
“Apabila saya keluar dari kereta saya nampak macam jalan basah berkilat, mungkin sebelum ini ada kemalangan dan minyak tumpah jadi bila hujan minyak berkenaan mungkin naik ke jalan.
“Beberapa kereta terbabas masa itu dan ada juga saya lihat hampir terbabas, jadi saya harap ia tidak berulang,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, laluan Lebuhraya KLK di Kilometer 37 hingga Kilometer 88 menjadi antara laluan paling berbahaya di Malaysia dengan rekod purata empat kemalangan setiap hari.
Sepanjang 2024 sebanyak 1,364 kes kemalangan direkodkan di laluan berkenaan sebelum meningkat kepada 1,408 kes pada 2025, mencerminkan peningkatan yang cukup ketara.
Lebih menyedihkan, kemalangan maut turut menunjukkan peningkatan apabila 19 kes direkodkan pada 2024 dan naik kepada 26 kes pada 2025. -KOSMO! ONLINE
















