fbpx

43 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM235,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pengunjung yang dikenakan kompaun ketika serbuan pihak berkuasa di pusat hiburan terbabit malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 43 orang pengunjung sebuah pusat hiburan di ibu negara, dikompaun sebanyak RM235,000, malam tadi, selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Pengunjung yang terdiri daripada 27 lelaki dan 16 wanita itu dikenakan tindakan kompaun ketika serbuan dilakukan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua JPJKK IPK Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob berkata, serbuan ke premis berkenaan dilakukan dengan seramai 21 pegawai dan anggota.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh PPN Fasa 4 bagi Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, pihak polis telah mengeluarkan kompaun terhadap 43 orang pengunjung yang terdiri daripada 27 lelaki dan 16 wanita dengan nilai kompaun berjumlah RM235,000.

“Sementara itu, pemilik premis tersebut juga turut dikenakan kompaun bernilai RM25,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut merampas sebanyak 431 botol pelbagai jenis liquor bernilai RM220,500 ekoran kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1967 dan rampasan itu boleh dilucut hak di bawah Akta Kastam 1967.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kesemua 43 orang penganjung terbabit telah disaring ujian air kencing dan hasil keputusan mendapati kesemuanya adalah negatif.

“Operasi sedemikian akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI