KUALA LUMPUR – Skuad negara mempamerkan belang sebenar apabila mengesahkan status selaku juara Kumpulan B acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mudah membenam Myanmar 3-0, hari ini.
Kemenangan di Stadium Titiwangsa itu bukan sekadar melengkapkan kempen cemerlang di peringkat kumpulan, malah dendam skuad berbalas buat skuad negara susulan kekalahan mengejut kepada lawan sama dalam acara regu, sebelum ini.
Malaysia yang sudah mengesahkan slot ke suku akhir lebih awal, tampil dengan taring berbeza apabila regu pertama dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi langsung tidak berdepan masalah menumbangkan lawan 15-7, 15-9.
Rentak kemenangan itu diteruskan regu kedua menerusi gandingan emas, Syahir
Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias yang memamerkan aksi kelas tersendiri
untuk menjinakkan Myanmar 15-11, 15-6.
Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun melengkapkan malam gemilang di hadapan
penyokong sendiri apabila regu ketiga, Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd. Nordin dan Amirul Zazwan Amir membenam Myanmar dengan kemenangan mudah 15-13, 15-5.
Kejayaan menyapu bersih ketiga-tiga regu itu membuktikan kesediaan skuad regu negara
dalam memburu slot ke final acara berpasukan esok.

Menanti Malaysia di pentas suku akhir esok adalah Jepun, dalam misi meneruskan
pemburuan gelaran juara dunia di laman sendiri.
Perejam negara, Azlan Alias mengakui gembira Malaysia berjaya melangkah ke suku akhir dan berharap kejayaan itu diteruskan ketika berdepan Jepun esok.
“Ketika ini prestasi kami dalam keadaan cukup baik dan saya bangga kami memberikan perlawanan cukup sengit. Apapun, perlawanan belum berakhir dan kami perlu siap sedia ketika berdepan Jepun esok,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














