fbpx
Adnan Mat

Cuepacs mahu isu parkir di Putrajaya, selesai secara menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mahu isu masalah parkir di Putrajaya diselesaikan secara menyeluruh dan berharap pihak berkuasa tidak mengambil tindakan drastik.

Ia susulan insiden lebih 10 buah kereta yang diletakkan di kawasan yang tidak dibenarkan parkir dilanggar seorang pemandu lori di Kompleks E, Putrajaya baru-baru ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya berharap agar polis dan pihak berkuasa tempatan tidak mengambil tindakan drastik seperti mengeluarkan saman atau menunda kenderaan yang diletakkan di bahu jalan selepas insiden tersebut berlaku.

“Cuepacs difahamkan pihak berkuasa akan menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan insiden dan ia mungkin akan diperluaskan ke kawasan lain di Putrajaya.

“Bukan berniat untuk mencampuri urusan pihak berkuasa tetapi adalah lebih mesra jika pendekatan seperti memberi peringatan atau nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan saman atau apa jua langkah perundangan lain diambil. Berikan tempoh masa yang mencukupi supaya kakitangan kerajaan disitu serta pelawat yang hadir faham mengenai larangan meletakkan kenderaan di bahu jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, isu parkir awam di Putrajaya bukan perkara baharu malah telah dibangkitkan sejak perpindahan kumpulan pertama penjawat awam ke situ pada tahun 1999 lagi.

“Walaupun pihak berkuasa sudah memperbanyakkan kawasan tempat letak kereta namun, pertambahan jumlah kakitangan kerajaan serta kehadiran orang awam yang lebih ramai menjadikan tempat tersebut padat.

“Justeru itu pendekatan atau penyelesaian yang bersifat menyeluruh perlu diberikan perhatian supaya masalah kekurangan parkir ini tidak berlarutan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, orang ramai berpendapat, kakitangan kerajaan serta pelawat yang mahu berurusan di Putrajaya menggunakan kemudahan ‘Park & Ride’ yang disediakan di Putrajaya Sentral bagi menangani masalah tersebut.

“Kemudahan itu merupakan satu inisiatif yang bagus tetapi berharap kerajaan mengkaji mengapa ia tidak menjadi pilihan penjawat awam serta pengunjung yang hadir serta perlu diperkasakan supaya ia mampu menarik pengguna untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Jika ia mesra pengguna, sudah pasti ia akan menyelesaikan sedikit masalah kekurangan parkir di Putrajaya memandangkan kemudahan ‘Park & Ride’ yang mampu memuatkan lebih 2,000 buah kenderaan,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR