PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh kekal dipenjara empat tahun dan didenda RM1 juta kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 untuk pengeluaran permit kerja di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin yang bersidang bersama selepas mendapati Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila meminda keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam penghakiman ringkas, Hakim Noorin menyatakan Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membebaskan Sabudin tanpa dipanggil membela diri.
Ujar hakim itu, Mahkamah Sesyen gagal mempertimbangkan keterangan dengan teliti dua saksi pendakwaan iaitu kontraktor serta mempersoalkan kredibiliti mereka sedangkan keterangan yang diberikan adalah konsisten dan mengukuhkan kes pendakwaan.
“Hakim Mahkamah Sesyen juga telah salah guna nas undang-undang dalam sokongan (corroboration). Alasan yang diberikan oleh hakim Mahkamah Sesyen mengandungi kesilapan serius dan memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
“Keterangan menunjukkan bahawa tertuduh mengenali kontraktor Dusari Niaga, Wong May Kuan dan (menerima suapan itu). Keterangan ini tidak dicabar. Oleh itu, ia menolak dakwaan bahawa Wong dianggap sebagai orang asing kepada tertuduh,” ujar Hakim Noorin.
Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan akhir Sabudin untuk mengetepikan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa hukuman penjara empat tahun dan denda RM1 juta adalah wajar.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Natrah Fareha Rahmat dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala Sabudin diwakili peguam-peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, Harjinder Singh Sidhu dan Ahmad Redza Akberdin.
Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Sabudin didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM200,000 daripada Wong May Kuan, subkontraktor bagi Dusari Niaga, ketika beliau menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL.
Dusari Niaga menjalankan kerja-kerja penurapan semula jalan di Kuala Lumpur dari 2018 hingga 2020.
Rasuah itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit kerja kepada syarikat berkenaan.
Pertuduhan pertama didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka sebuah stesen minyak di MRR2, Bukit Antarabangsa, Ampang pada 9 Jun 2018 manakala pertuduhan kedua di rumah Sabudin di Ampang pada 17 Januari 2019. – KOSMO! ONLINE














