PETALING JAYA – Cubaan membawa masuk produk pertanian tanpa dokumen sah bernilai RM1,600 berjaya dipatahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA, Ibrahim Mohd Yusof, berkata, kegiatan itu dikesan hasil pemeriksaan bersama Malaysia Border Guard (MBG) kira-kira pukul 1 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi milik seorang penumpang warga asing dari China, pihak berkuasa menemui pelbagai produk pertanian yang tidak mematuhi syarat pengimportan.
“Antara barangan dirampas termasuk daging itik sejuk beku, ayam bulat dan daging babi tanpa Permit Import MAQIS serta Sijil Kesihatan Veterinar dari negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,600 dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Tambah beliau, kejayaan itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara AKPS dan MBG dalam memperkukuh aspek pemeriksaan, risikan serta penguatkuasaan di pintu masuk negara.
“Sinergi ini meningkatkan kecekapan tindakan dan keberkesanan pengesanan terhadap cubaan pelanggaran undang-undang.
“AKPS akan terus memperkasa kerjasama bagi memastikan kawalan sempadan berada pada tahap optimum serta keselamatan biosekuriti negara terus terpelihara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














