PETALING JAYA – Penduduk di sebuah pangsapuri di Pandan Mewah, Ampang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir warga asing yang didakwa gemar meludah sirih di kawasan awam sehingga menjejaskan kebersihan dan keselesaan penduduk setempat.
Tindakan luar biasa diambil apabila sebuah kain rentang besar dipasang di kawasan perumahan tersebut sebagai peringatan tegas kepada golongan berkenaan.
Menerusi satu gambar yang dikongsi di Thread Kak Cik Juariah, kain rentang itu jelas memaparkan mesej larangan meludah sirih dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Melayu, Inggeris dan tulisan Myanmar, dengan amaran denda sehingga RM100.
Tinjauan di ruang komen mendapati, ada penduduk mendakwa masalah itu bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Aku hantar makanan kat hostel mereka, tiap bucu tangga mesti penuh spray merah, geli,” kata Zul Fazlan.
“Sampai tahap macam ini dah ya punya teruk warga asing kat Malaysia. Bila nak bertindak lebih keras banteras warga asing yang berlambak-lambak kat Malaysia ni ya?,” kata Ida.
“Situ memang kawasan mereka, tepi-tepi jalan pun nampak ada kesan ludah,” kata Am. – KOSMO! ONLINE














