KUALA LUMPUR – Bekas pengarah didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduan menipu berhubung pelaburan perniagaan minyak diesel lebih RM700,000 dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dua tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh Shamsul Rijal Mohd. Yusof, 74, dan bekas isterinya Hamidah Ab Hamid, 62, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya mereka di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.
Di hadapan Hakim Azrul, Shamsul Rijal didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya dalam pelaburan perniagaan minyak diesel yang menjanjikan keuntungan sehingga mendorong lelaki itu membuat pindahan wang sebanyak RM725,000 ke dalam akaun bank sebuah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Desa Sri Hartamas di sini pada 26 Februari 2024 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Shamsul Rijal turut didakwa telah menerima wang berjumlah RM20,000 daripada akaun bank milik sebuah syarikat yang ditunaikan melalui akaun simpanan milik seorang wanita berusia 63 tahun di sebuah bank di Jalan Tun Razak di sini pada 15 Mac 2024.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikemukakan dibawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram 2001 yang memperuntukkkan pemenjaraan tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara itu di hadapan Hakim Norma, Shamsul Rijal dan Hamidah didakwa secara niat bersama telah menerima wang sebanyak RM122,000 daripada sebuah syarikat melalui akaun sebuah bank yang ditunaikan yang mana wang itu merupakan hasil daripada aktiviti haram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Melawati di sini mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman sama.
Di hadapan hakim sama, Hamidah turut didakwa atas satu pertuduhan iaitu menerima wang berjumlah RM130,000 daripada akaun semasa bank milik sebuah syarikat ke dalam akaun simpanan bank miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah cawangan bank di sini pada 6 Mac 2024 hingga 29 Mac 2024.
Semasa prosidung pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R.Azmi dan Muhammad Zulhilmi Abd Latif. Shamsul Rijal diwakili peguam Farhanna Roslan manakala Hamidah tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan Shamsul Rijal diikat jamin RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala Hamidah yang berdepan dengan dua pertuduhan dibenarkan diikat jamin RM20,000.
Tarikh 8 Jun ini ditetapkam sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE.














