PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 13 Mei ini bagi mendengar permohonan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz selaku responden ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Mohd. Isa selaku pemohon ketika dihubungi turut mengesahkan tarikh sama pendengaran tersebut.
Mohd. Isa yang kini menjalani hukuman dipenjara Sungai Buloh memfailkan semakan terhadap hukuman itu pada 4 Mac lalu dibawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Pada 10 Februari lalu, Mohd. Isa diperintah menjalani hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan Mohd. Isa, 77, terhadap sembilan pertuduhan itu selain mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan Mohd. Isa sebelum ini.
Justeru dengan sabitan dan hukuman itu, mahkamah tertinggi negara mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Mohd. Isa termasuk hukuman yang dijatuhkan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Lee Swee Seng Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.
Ketika membaca penghakiman, Hakim Nordin berkata dapatan hakim bicara (di Mahkamah Tinggi) adalah disokong oleh keterangan dan selaras dengan undang-undang.
Hakim Nordin selanjutnya menyatakan, Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengusik dapatan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukum responden terhadap kesemua pertuduhan pada 3 Februari 2021.
Ujar beliau, ini kerana SP21 menyatakan, Mohd. Isa sendiri mengarahkan beliau untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel yang juga SP16.
Mahkamah Persekutuan juga bersetuju, SP21 merupakan perantara yang menerima wang daripada SP16 manakala penyerahan wang tersebut yang dilakukan sebanyak sembilan kali menguatkan kes pendakwaan.
SP21 kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang itu secara berperingkat kepada Mohd. Isa.
Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan beliau.
Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd. Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd, Ikhwan Zaidel.
Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd. Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya. – KOSMO! ONLINE














