fbpx
PENYANYI-penyanyi kelahiran pertandingan realiti yang bukan berstatus 'juara' namun mereka mencipta kejuaraan sebenar dalam industri.

5 bintang bukan juara tapi paling berjaya, popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM pertandingan realiti, piala juara sering dianggap tiket emas menuju puncak gemilang. Pentas akhir menjadi medan penentu, hanya satu nama diangkat sebagai terbaik, namun hakikat sebenar industri hiburan tidak semudah angka dan kedudukan.

Sejarah membuktikan, kekalahan bukan noktah. Tersingkir awal atau sekadar bergelar naib juara tidak pernah menutup pintu rezeki, malah deretan figura bangkit lebih besar, berpengaruh dan melekat dalam jiwa peminat.

Bakat, strategi dan keberanian mencipta identiti menjadi garis halus. Mereka tidak bergantung pada trofi, sebaliknya membina empayar melalui karya, jenama dan aura tersendiri.

Gala minggu ini membariskan lima bintang lahir daripada pentas pertandingan, kalah di mata juri, tetapi menang di hati industri.

Nabila Razali

Nama Nabila Razali sering menjadi rujukan utama apabila berbicara soal ‘kalah bertanding, menang populariti’. Bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu hanya meraih tempat kelima, namun impak kerjayanya jauh mengatasi juara musim tersebut, Faizul Sany.

Strategi pemasaran kreatif menjadi kekuatan utama. Gimik emosi sebelum pelancaran lagu Pematah Hati mencetus fenomena luar biasa. Video muziknya melonjak ke jutaan tontonan dalam masa singkat.

Wanita berusia 33 tahun itu bijak memilih lagu balada pop mudah melekat seperti Vroom Vroom dan Peluang Kedua bersama MK K-Clique. Setiap karya membawa formula komersial ampuh.

Tidak terhenti di situ, dia mengukuhkan posisi melalui lakonan dalam drama seperti Hikayat Cinta Si Pematah Hati dan Pesan Pada Hati. Status sebagai duta jenama serta pengaruh media sosial menjadikan dirinya kekal sebagai antara selebriti yang kaya pengaruh.

Aina Abdul

Aina Abdul memulakan langkah sebagai naib juara Mentor Legend 2014 bawah bimbingan Ella, tewas kepada Azmil Mustapha, namun kekalahan menjadi titik mula kebangkitan luar biasanya.

Aina muncul sebagai vocal powerhouse dengan identiti muzik tersendiri. Deretan lagu ciptaan sendiri seperti Sumpah, Semalam, Sepi dan Terus Hidup membuktikan kekuatan sebagai komposer serta penulis lirik.

Penampilan fesyen avant-garde menjadi bualan setiap kali muncul di acara besar. Gaya dramatik serta berani mengukuhkan jenama visualnya sebagai trendsetter.

Dominasi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik mengesahkan statusnya sebagai anak seni berbakat besar. Tiga kali merangkul Anugerah Vokal Terbaik serta kemenangan AJL37 menerusi Terus Hidup dicampur pula dengan empat trofi utama dalam AIM24, kredibiliti wanita berusia 32 tahun itu tidak dapat disangkal lagi.

Hael Husaini

Perjalanan Hael Husaini penuh liku sebelum mencapai status bintang. Bermula dalam Mentor kemudian Akademi Fantasia sebagai duo Azhael, dia sekadar muncul naib juara di belakang Faizul Sany.

Keputusan bergerak solo pada 2017 menjadi titik perubahan besar. Lagu Jampi mencetus fenomena, menguasai carta dan menjadi siulan seluruh negara. Sebagai komposer dan penulis lirik, Hael mencipta deretan karya hebat termasuk Haram bersama Dayang Nurfaizah, Anta Permana untuk Siti Nurhaliza dan Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera.

Kemenangan berturut-turut di Anugerah Juara Lagu serta imej fesyen moden berpengaruh menjadikan dirinya ikon muzik dan gaya. Lagu seperti Hajat, Hati dan Kelentang-Kelentong terus mengukuhkan dominasi.

Ayda Jebat

Kisah Ayda Jebat antara paling unik. Tersingkir seawal minggu ketiga Akademi Fantasia musim kesembilan, dia hampir tenggelam sebelum bangkit mencipta fenomena.
Langkah beralih ke lakonan membuka jalan. Gandingan bersama Zul Ariffin dalam drama Rindu Awak 200% meledak luar biasa, mengangkat namanya ke puncak populariti.

Ayda kemudian kembali ke bidang nyanyian dengan lagu rancak seperti Siapa Diriku, Pencuri Hati dan Temberang, semuanya meraih jutaan tontonan. Sokongan kelab peminat AjScreamer menjadikannya ratu anugerah undian.

Trofi Top Top MeleTOP dan kejayaan dalam Anugerah Bintang Popular membuktikan pengaruh luar biasanya. Personaliti ceria dan bertenaga pula menjadikan dirinya pengacara serta penghibur pentas digemari ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN