CALIFORNIA – Jurulatih Qatar, Julen Lopetegui menaruh sepenuh kepercayaan kepada barisan pemainnya bagi memburu permulaan positif pada Piala Dunia 2026 menjelang aksi Kumpulan B menentang Switzerland di Stadium San Francisco Bay Area awal pagi esok.
Qatar yang mara ke pusingan akhir menerusi aksi playoff enggan berasa tertekan biarpun mereka tidak melakukan persiapan yang mencukupi akibat konflik Timur Tengah yang tercetus baru-baru ini.
Lopetegui menegaskan, mereka hadir dengan semangat juang cukup tinggi, lebih-lebih lagi Qatar berdepan isu peperangan sehingga menyebabkan mereka terpaksa membatalkan beberapa perlawanan persahabatan.
“Bagi saya, kejayaan Qatar mara ke pusingan akhir Piala Dunia merupakan satu pencapaian luar biasa kerana mereka hanya memiliki 300,000 rakyat dan mungkin tidak sampai 10,000 orang bermain bola sepak.
“Persiapan kami tergendala akibat peperangan. Keadaan itu menyebabkan ahli keluarga saya di Sepanyol menyuarakan kebimbangan tetapi saya tidak boleh meninggalkan pasukan kerana ia adalah tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan saingan Kumpulan B sangat sukar kerana selain Switzerland, mereka juga perlu berdepan tuan rumah, Kanada serta Bosnia and Herzegovina yang menyingkirkan Itali pada aksi playoff.
“Saingan dalam Kumpulan B cukup rumit kerana Kanada merupakan pasukan terkuat di rantau ini manakala Switzerland mampu melakar kejutan. Bosnia pula membuktikan kehebatan mereka dengan menewaskan Itali,” ujar Lopetegui. – AGENSI














