fbpx

Bot persiaran pindah minyak secara haram ke kapal kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal kargo berwarna kuning dan bot persiaran yang ditahan oleh APMM kerana didapati melakukan pemindahan minyak secara haram di Langkawi, semalam.

LANGKAWI – Dua nakhoda dan lapan kru ditahan Maritim Malaysia (APMM) setelah didapati memindahkan minyak secara haram dari sebuah bot persiaran ke kapal kargo berhampiran Terminal Feri Penumpang Kuah di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, pihaknya yang menerima aduan berhubung kejadian daripada orang awam kemudian mengatur gerak bot ronda Perkasa 1225 ke lokasi tersebut.

“Bot persiaran berkenaan disyaki sedang melakukan cubaan untuk memindahkan minyak kepada sebuah kapal kargo.

“Pemeriksaan dan geledah mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak atau ‘ship to ship’ (STS),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, nakhoda bot persiaran bersama empat kru warga tempatan dan seorang kru warga Thailand berusia antara 28 hingga 45 tahun ditahan.

“Turut ditahan nakhoda kapal kargo dan tiga kru warga tempatan berusia antara 25 hingga 32 tahun bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Menurutnya, kedua-dua kapal kargo dan bot persiaran serta anak kapal dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(I) dan Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI