fbpx
GAMBAR HIASAN / FARIZ RUSADIO

Jangan sampai pejabat kosong!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA dua sebab mengapa rakyat bersorak sebaik Perdana Menteri mengumumkan kebenaran rentas negeri pada Ahad lalu.

Pertama, pastinya soal balik kampung yang mana ia memberi kegembiraan maksimum kepada setiap insan bergelar perantau.

Kedua pula, berkisar tentang kebebasan untuk ke mana-mana, tanpa sebarang sekatan jalan raya dan diberi kemudahan untuk melancong ke luar negara.

Ironinya, rakyat memang dan berhak untuk bergembira. Mereka juga layak untuk meluahkan rasa teruja dengan apa cara sekalipun.

Selepas empat bulan dikurung dengan rela, berita rentas negeri ini adalah kemuncak kepada kemenangan seorang rakyat.

Benar, kita belum menang dalam erti kata melawan Covid-19, namun kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan adalah petanda awal kepada kejayaan kita untuk membendung Covid-19.

Tabik buat seluruh warga pentadbir kerajaan, dahulu dan kini termasuk kumpulan barisan hadapan. Di sebalik kegembiraan yang dirasai oleh rakyat ketika ini, ia sebenarnya banyak didorong oleh cetusan idea dan titik peluh serta keringat kalian.

Tugasan kalian sebagai Perdana Menteri, pentadbir kerajaan dan barisan hadapan mungkin hampir selesai.

Kini, perjalanan untuk memburu kemenangan mutlak melawan Covid-19 terletak di bahu rakyat.

Disiplin, kepatuhan dan rasa tanggungjawab rakyat bakal menjadi pertaruhan kepada sejauh mana kebebasan ini dapat dinikmati. Sebulan, setahun atau selama-lamanya.

Tugasan kita cukup mudah. Ikuti segala saranan yang diberikan kerajaan, kekalkan dengan budaya norma baharu dan jangan sesekali pentingkan diri.

Hakikatnya, kisah dan cerita balik kampung memang menyeronokkan. Tidak kira di mana terletaknya kampung anda, sama ada di kota raya, di ceruk desa mahupun di kawasan pedalaman, suasana untuk pulang ke kampung tetap sama.

Apa yang membezakan mungkin soal kekerapan untuk pulang, kos yang diperlu ditanggung dan tempoh masa yang diperlukan.

Paling penting, boleh bertemu ibu dan bapa yang telah lama ditinggalkan. Bagi yang telah kehilangan orang tua, sesi ziarah kubur mungkin menjadi detik paling menyentuh kalbu.

Bagi segelintir rakyat pula, sesi balik kampung mungkin bukan menjadi keutamaan mereka ketika ini. Perkara pokok yang difikirkan sebaik rentas negeri dibenarkan adalah keluar melancong.

Tepuk dada tanya selera. Selagi mana kemampuan itu ada, silakan mencari destinasi pilihan, sama ada dalam negara atau pun luar negara.

Namun, di sebalik keghairahan untuk pulang ke kampung ataupun keluar melancong, tanggungjawab kita sebagai pekerja jangan sesekali diabaikan.

Bak kata seorang teman, kebimbangan paling ditakuti majikannya ketika ini bukanlah soal pertambahan kes positif, tetapi risau pejabatnya akan kosong gara-gara semua pekerja pulang ke kampung!. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN