fbpx

‘Tanda terima kasih untuk Dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANA MAHAZAN

“SAYA sangat berharap semua orang memahami dan beri ruang sebab ini adalah perkara yang terlalu peribadi. Sebab perjalanan ini adalah proses antara saya dengan Tuhan.”

Demikian ungkap pengacara Nana Mahazan yang seboleh-bolehnya enggan perjalanan baharu atau lebih tepat lagi penghijrahan yang dilaluinya kini diungkit berkali-kali. Umum tahu,

Nana mencuri tumpuan apabila tampil berhijab buat pertama kali pada 15 Ogos lalu menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram. Tanpa sebarang perkongsian awal atau memberi petanda untuk berubah imej, penampilan Nana dalam video mempromosikan produk jualannya pada waktu tersebut menambat perhatian peminat yang rata-ratanya tumpang bahagia melihat perubahannya.

Usaha Pose untuk mendekati dan mengajak pengacara tinggi lampai itu berbicara tentang penghijrahannya bagaimanapun bersambut baik.

Sempat juga Nana merungkaikan kelelahan yang dirasai dek kekerapan dilayangkan soalan sama.

Bagi pemilik nama lengkap Nurul Hana Che Mahazan itu, tiada apa yang hebat tentang penghijrahannya sehingga perlu digembar-gemburkan.

“Penat juga nak jawab soalan sama. Bila solat dan berdoa, saya selalu minta untuk jadi lebih baik daripada semalam.

BERUSIA 38 tahun, tiada rahsia tertentu diamalkan Nana untuk kekal jelita dan muda kecuali penjagaan kulit, sentiasa gembira, tidak menaruh hasad dengki atau membiarkan hati hitam menguasai diri.

“Penghijrahan ini bukan untuk bersaing dengan orang lain ataupun mengikut trend fesyen, jauh sekali.

“Fokus saya adalah macam mana nak jadi Nana Mahazan yang lebih baik daripada Nana Mahazan semalam,” tegasnya.

Dia yang memulakan hijrah pada Awal Muharam lalu mengakui, maksud lirik dalam lagu nasyid Maal Hijrah menjentik nalurinya tentang pengorbanan.

“Hijrah itu satu pengorbanan. Jadi apa yang saya boleh buat untuk gembirakan Allah selepas bermacam-macam kebahagiaan dan kenikmatan yang dikurniakan kepada saya selama ini. Ini tanda terima kasih saya kepada Dia,” tuturnya.

PERJALANAN ini suci. Cukup setakat itu terjemahan perasaan dalam sanubari Nana ketika diajak melewati semula momen awal perjalanan menemukan hidayah Allah terhadapnya.

Misi, perkasa wanita

Tutup cerita hijrah. Nana mahu menyimpan rapi keindahan dan kemanisan perjalanan tersebut jauh di kedalaman hati sendiri.

Fokusnya kini adalah untuk mendepani hidup menjadi seseorang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

Impian tersebut mahu direalisasikan menerusi perniagaan yang diusahakannya. Dari situ, Nana meletakkan misi besar iaitu untuk membantu orang lain seramai yang mungkin.

“Saya nak bantu golongan wanita jana pendapatan. Bantu mereka dari segi pembangunan diri untuk jadi seorang yang berjaya. Kita wanita tapi tetap dapat jana pendapatan untuk kelangsungan ekonomi keluarga. Itulah misi saya yang paling besar.

“Hidup saya lebih kepada untuk jadi seseorang yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Saya mahu jadi orang yang boleh beri manfaat terhadap orang lain,” ujarnya.

SELAIN sibuk dengan bisnes, Nana tetap menyeimbangkan kehidupan dengan kerjaya sebagai pengacara yang merupakan minat utamanya sejak dahulu.

Bisnes, pengacaraan

Sejak mula menyertai dunia hiburan dengan memasuki pertandingan program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1), Nana kemudian mengorak langkah dengan bergelar penyampai radio dan aktif mengacara.

Buat masa ini, dia terlibat dengan dua buah program, Bawang Live terbitan Astro dan HTV (RTM)

Biarpun bidang pengacaraan menjadi kecenderungannya, wanita berusia 38 tahun itu mengakui buat masa ini fokusnya lebih terarah untuk perniagaan.

“Buat masa ini tiada tawaran baharu kecuali untuk Astro dan TV1 yang saya kendalikan sekarang.

“Cuma kalau untuk kerja dalam bidang ini, harus ikut jadual saya sebab saya ada keluarga dan bisnes yang perlu diuruskan. Jika ada tawaran dan dirasakan berbaloi dengan masa, jadi saya akan terima. Sebab kerja pengacaraan bukan mudah kerana melibatkan masa,” katanya.

Dalam mencapai misinya, Nana mahu memberi fokus berganda untuk perkembangan bisnes termasuk jenama Sisterhood yang diusahakan.

“Ada banyak permintaan minta saya keluarkan tudung segera yang ringkas dan mudah untuk dipakai. Sebab saya pakai jenis itu.

“Mungkin tapi tak pasti lagi. Perancangan ke arah itu mungkin ada. Tapi tiada isu yang saya berhijab sebab nak jual tudung.

“Bukan. Jangan salah faham. Doakan sajalah yang baik-baik untuk saya dan juga semua orang supaya dapat tetapkan dalam hati untuk kekal jadi baik okey,” ucapnya menamatkan bicara.

Foto BLACKPEPPER PRODUCTION
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI