fbpx
FAEZAH (bawah) bergambar bersama warga emas yang menghuni Mesra Home Ampang.

Faezah selesa jadi penjaga nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELIHAT warga emas yang hidup dalam kedaifan, diuji dengan kesihatan mental, orang kurang upaya (OKU), asnaf dan tanpa penjaga membuatkan Faezah Ali menahan tangis dalam diam. Disebabkan itu, dia bertekad membangunkan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Seri Mesra (Mesra Home Ampang).

Sejak ditubuhkan pada 2013, Mesra Home Ampang menjadi tempat berlindung warga emas wanita dengan pelbagai masalah kesihatan seperti mental, pekak, bisu, buta dan dementia.

Menurut Faezah, dia yang berpengalaman bertugas sebagai jururawat terlatih (staff nurse) di wad warga emas dan paliatif terpanggil untuk menubuhkan rumah kebajikan tersebut bersama beberapa kenalan jururawat.

“Melihat nasib warga emas yang terbiar tanpa penjaga, apatah lagi diuji dengan pelbagai masalah seperti kesihatan mental, OKU dan asnaf membuatkan saya menangis teruk. Sampaikan saya bertanya dalam diri kenapa boleh jadi macam ini?

“Oleh itu, saya bersama kawan-kawan bertekad membuka rumah kebajikan ini. Dahulu, saya merancang untuk membuka rumah orang tua berbayar tetapi Allah aturkan saya jalan hidup yang lebih baik. Saya bukan cari duit tapi cari pahala,” katanya kepada K-Wanita.

Kini, Faezah berperanan sebagai Pengurus Mesra Home Ampang sepenuh masa dengan dibantu oleh lima orang staf untuk menguruskan 24 orang warga emas berusia di antara 60 hingga 96 tahun.

Jelas anak keempat dari tujuh beradik itu, rumah kebajikan tersebut bukan hanya menjadi tempat berteduh warga emas, sebaliknya ia ‘sekolah’ untuk dirinya dan orang ramai belajar tentang kasih sayang, tanggungjawab menjaga ibu bapa, pengurusan emosi serta memperbaiki diri menjadi lebih baik.

FAEZAH (kanan) banyak menghabiskan masa dengan warga emas.

“Warga emas atau nenek-nenek di sini banyak mendidik saya, ajar kenal diri dan sayangi diri sendiri. Setiap manusia ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. 

“Sebelum tengok orang lain, lebih baik fokus kepada diri sendiri.

“Nenek ajar saya buang kelemahan diri kerana kita tidak boleh bawanya sehingga ke akhir usia. Perangai negatif itu akan menyusahkan diri kita dan penjaga kelak. 

“Oleh itu, rumah kebajikan ini saya gelarkan sekolah kerana turut menyediakan ruang untuk orang ramai belajar, di samping perkongsian kehidupan nenek di TikTok,” tuturnya.

Akui Faezah, pada peringkat awal menguruskan Mesra Home Ampang, dia berasa agak tertekan dan kurang faham kerana setiap penghuni mempunyai masalah serta perangai berbeza.

“Sedikit demi sedikit saya sedar, untuk menjadi penjaga warga emas, saya perlu tengok diri sendiri. 

“Saya belajar jaga diri dulu (fahami kelebihan dan kelemahan), barulah boleh jaga semua orang. Saya juga belajar sabar dan tidak mudah marah.

“Selain itu, saya belajar skil ‘tukar baju’, di rumah kebajikan ini saya sebagai pengurus, tetapi apabila keluar sahaja dari situ, saya berperanan sebagai ibu, isteri, menantu dan anak kepada ibu bapa saya yang masih hidup.

“Sebenarnya, kita rasa susah sebab tak pandai nak ‘tukar baju’ sehingga rasa tertekan dan tanggungjawab lain terabai,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

SALAH sebuah buku yang ditulis oleh Faezah mengenai pengalamannya menjaga nenek.

Katanya, memandangkan ada penghuni di situ mengalami masalah mental, jadi cara berkomunikasi juga berbeza iaitu dengan menggunakan nyanyian sebagai medium ‘membeli jiwa’ mereka.

Menariknya, setiap momen dan pengalaman di Mesra Home Ampang dikongsikan oleh Faezah dalam buku ditulisnya sejak tahun 2020.

“Ketika Covid-19, saya rasa sunyi. Dari situ, baru saya faham kesunyian yang warga emas rasa ketika tua. 

“Buku-buku yang saya tulis berkisar tentang pengalaman saya sebagai penjaga dan kisah kehidupan penghuni di sini. 

“Hasil jualan buku saya sumbangkan untuk rumah kebajikan ini,” katanya.

Sehingga kini, Faezah telah menulis tiga buah buku iaitu Cerita Kita Aku Penjaga Nenek, Bisikan Hati: Aku Penjaga Nenek dan Coretan Kata. 

Terbaharu, dia baru sahaja menyelesaikan penulisan buku keempat bertajuk Lantunan Jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN