IPOH – Tindakan agresif seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta milik orang awam menggunakan batu di kawasan Gerbang Malam di sini, mengundang padah apabila dia diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, lelaki warga tempatan berusia 43 tahun itu ditahan sekitar pukul 1 pagi kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati, kejadian khianat merosakkan kenderaan itu berlaku Selasa lalu pada pukul 11.40 malam.
“Suspek dipercayai memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan sebuah Perodua Bezza menggunakan batu.
“Tindakan itu dilakukan suspek selepas berlaku perselisihan faham berkaitan bayaran perkhidmatan menggilap kenderaan yang tidak diminta,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, rakaman kejadian tersebut turut tular di media sosial menerusi akaun Facebook dikenali sebagai ‘Iesya Toh’.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek bagi membantu siasatan. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau.
“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE














