SAYA ingin bertanya tentang doa yang dibaca dalam majlis-majlis perkahwinan dengan menyebut: “Ya Allah, Kau restulah dan eratkan hubungan kedua-dua pengantin ini sepertimana Kau eratkan hubungan antara Yusuf dan Zulaikha, Musa dan Safurah, Sulaiman dan Balqis.” Ada pihak yang mendakwa bahawa ia tidak patut dibacakan kerana kita tidak dapat menentukan kesahihannya. Justeru, bolehkah kita berdoa dengan lafaz doa sedemikian?
JAWAPAN: PERBUATAN memberi ucapan selamat kepada para pengantin baharu merupakan satu perkara yang dianjurkan di dalam Islam. Ia merupakan sunah Rasulullah SAW.
Ini sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata: “Nabi SAW apabila memberikan ucapan selamat kepada orang yang baharu berkahwin, Baginda SAW akan menyebut, “Semoga Allah SWT memberkati kamu dalam keadaan senang dan susah serta menghimpun kalian berdua dalam kebaikan.” (Riwayat Abu Daud: 2130)
Secara umumnya, disunatkan untuk membaca doa-doa yang memohon kebaikan kedua-dua pengantin dan doa mengelakkan daripada keburukan.
Bahkan, disunatkan juga untuk diucapkan bagi sesiapa yang tidak menghadiri majlis akad apabila bertemunya, walaupun telah berlalu waktu yang lama mengikut ‘uruf.
Antara doa ma’thur yang disunatkan untuk dibaca seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi: “Disunatkan untuk berdoa untuk kedua-dua pengantin selepas selesai akad. Maka dibacakan doa, ‘barakaAllahu laka, wa baraka ‘alaika, ma jama’a bainakuma fi khair’.” (Rujuk Raudhah al-Talibin, 8:35)
Di samping itu, adab-adab dalam berdoa juga perlu dijaga dan diambil perhatian. Antara adab-adab tersebut adalah memilih lafaz yang mudah difahami, tidak berbunga-bunga dan bersajak dengan sengaja menjadikannya panjang semata-mata untuk sedap didengar.
Hal ini sepertimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau berkata: “Hati-hatilah daripada sengaja menjadikan doa seperti bersajak dan jauhilah perbuatan tersebut. Ini kerana aku mengetahui bahawa Rasulullah SAW dan para sahabatnya tidak melakukan kecuali atas sebab tersebut, iaitu mereka tidak melakukannya kecuali dengan tujuan mengelakkan hal tersebut.” (Riwayat al-Bukhari: 6337)
Menurut Ibn al-Battal, Nabi SAW melarang untuk melakukan hal yang demikian kerana ia suatu perbuatan yang sengaja menyusahkan dan memberat-beratkan diri yang akan menghalang seseorang daripada khusyuk dan ikhlas dalam berdoa.
Bagaimanapun, jika ia tidak menyusahkan diri, tidak menghalang daripada khusyuk dan perasaan tunduk dan ikhlas kepada Allah SWT, maka ia diharuskan.
Selain itu, antara adab yang disebut para ulama ialah tidak berdoa dengan lafaz yang sukar difahami dan perkataan yang bersajak tanpa mempunyai asal dan rujukan sehingga mengabaikan doa-doa yang ma’thur (yang diriwayatkan) daripada Rasulullah SAW.
Ini seperti mana yang disebut oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya: “Antaranya (yang perlu dielakkan ketika berdoa), berdoa dengan doa yang bukan daripada al-Quran dan sunah dengan memilih perkataan yang sukar difahami dan susunan kata yang bersajak, yang mana didapati dalam tulisan yang tiada asal baginya dan tidak boleh dijadikan sandaran. Lalu dijadikan doa tersebut suatu syiar dengan meninggalkan doa-doa yang telah dibaca oleh Rasulullah SAW. Semua perkara ini menghalang daripada dikabulkan sesuatu doa.” (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 7:226)
Oleh yang demikian, doa-doa yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan atas tujuan untuk sengaja memanjangkannya supaya sedap di dengar hendaklah dielakkan. Kesimpulannya, cara berdoa yang baik adalah dengan menjaga adab-adab ketika berdoa.
Antara adab tersebut adalah tidak terlalu panjang dan berbunga-bunga sehingga seolah-olah bersajak kerana ia akan menghilangkan rasa khusyuk, perasaan tunduk dan ikhlas kepada Allah SWT.
Selain itu, jika ingin menambah perkataan yang disebutkan dalam soalan di atas, maka sebaiknya memilih apa yang dipastikan dengan yakin kesahihannya.














