DALAM hidup ini, pelbagai dugaan melanda pasangan suami isteri yang sedikit sebanyak boleh menggoncang rumah tangga yang dibina selama ini atas dasar kepercayaan dan kesetiaan.
Tidak suami, pasti ada isteri yang tidak tahan dengan godaan untuk mengecapi kenikmatan duniawi yang sementara dan akhirnya memberi penyesalan seumur hidup.
Minggu ini, kolum Dari Mahkamah Syariah memaparkan liku-liku hidup sepasang suami isteri yang diuji dengan perpisahan sementara ekoran tuntutan kerja, namun si isteri cepat berasa bosan dan untuk mengisi kebosanan itu, dia memilih jalan gelap dengan mencari kekasih untuk berseronok.
Akhirnya, hubungan gelap itu tidak bertahan lama selepas si suami dapat menghidunya dan sang isteri telah diceraikan dengan talak tiga.
—————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–
PERKONGSIAN hidup antara Hamid dan Farah (bukan nama sebenar) berlangsung selama kira-kira sedekad sebelum mahligai bahagia itu hancur berkecai kerana kecurangan.
Selama ini, bahtera perkahwinan pasangan itu tampak tenang dengan masing-masing sering berkongsi kebahagiaan di media sosial, apatah lagi perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata.
Kehidupan pasangan berusia 30-an itu juga agak senang dengan memiliki dua buah kondominium dan sebuah kereta besar serta mempunyai orang gaji untuk menguruskan anak-anak yang berusia antara satu hingga lapan tahun.
Hal ini memandangkan Hamid bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang, manakala Farah pula setiausaha di sebuah syarikat swasta.
Ikatan yang terjalin bagaimanapun berakhir jua selepas Farah ditangkap basah berlaku curang dengan teman lelakinya di belakang Hamid.
“Saya tidak sangka, perkahwinan kami berakhir angkara kecurangan. Kepercayaan yang diberikan selama ini telah dikhianati.
“Segalanya berpunca daripada Farah, namun saya mengaku ia juga didorong oleh kesilapan dan tuntutan kerja saya,” ujar Hamid ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Mengimbau kembali kisah kecurangan Farah, Hamid memberitahu, ia berpunca daripada ketiadaannya di rumah untuk tempoh lama disebabkan tuntutan kerja.
Jelasnya, sebagai jurutera kilang, dia sering dihantar syarikat ke Jepun untuk tempoh sebulan bagi mendalami teknologi baharu.
Dia memberitahu, situasi ini membuka peluang kepada Farah untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki lain menerusi media sosial bagi menghilangkan kebosanan.
“Saya sedar Farah seorang yang aktif dalam media sosial. Dia memang ramai kawan lelaki sejak di universiti lagi.
“Jadi, saya tidak kisah sangat dia berkawan dengan lelaki lain selagi tidak melanggar batas sebagai isteri,” cerita lelaki berasal dari Kulai, Johor itu.
Pada permulaan pemergiannya ke Negara Matahari Terbit selama sebulan, Hamid tidak mengesyaki sebarang yang janggal terhadap Farah.
Ketika itu, Farah bijak menyembunyikan kekasih gelapnya dengan sering menghabiskan masa menerusi panggilan video bersama Hamid setiap hari.
Selang beberapa bulan kemudian, Hamid ditugaskan ke Jepun buat kali kedua. Ketika inilah, Farah mula menunjukkan ‘belangnya’ dengan membuat sesuatu di luar jangka.
“Pada malam itu, saya sedang berehat di atas katil selepas penat bekerja. Tiba-tiba ada seorang jemaah surau mengirim pesanan WhatsApp kepada saya memaklumkan dia ternampak kelibat lelaki asing masuk ke rumah saya.
“Saya mula berasa was-was dan segera menelefon Farah untuk bertanyakan gerangan lelaki berkenaan. Farah beritahu orang itu datang untuk tukar gas di dapur,” jelasnya.

Kejadian tersebut berlalu begitu sahaja, namun fikiran Hamid tetap berasa curiga dan terpanggil untuk meminta individu jemaah surau tadi menyiasatnya dengan lebih lanjut.
Beberapa hari kemudian, orang jemaah surau tadi sekali lagi terlihat kelibat lelaki sama masuk ke rumahnya pada malam hari dan berada di dalam rumah hampir 30 minit.
“Selepas itu, saya mula syak yang Farah ini menipu saya. Dia sebenarnya membawa balik lelaki lain ke rumah sepanjang ketiadaan saya.
“Disebabkan itu, saya memasang perangkap dengan mengatakan tempoh tugasan luar saya dilanjutkan selama seminggu lagi. Sebenarnya, saya sudah pulang ke tanah air,” tegasnya.
Ceritanya, dia memilih untuk menginap di hotel sementara menunggu jemaah surau tersebut memaklumkan kehadiran lelaki berkenaan ke rumahnya.
Sehinggalah suatu hari, Hamid telah dimaklumkan bahawa lelaki itu telah masuk ke dalam rumah dan dia terus bergegas pulang untuk menangkap sendiri kecurangan Farah.
Alangkah terkejutnya Hamid apabila melihat Farah sedang berpelukan di atas katil bersama lelaki tersebut sambil anak-anak bermain di ruang tamu.
“Apabila melihat kejadian itu, saya berasa seperti ingin membunuh sahaja mereka berdua disebabkan perbuatan berzina yang dilakukan. Mujurlah, saya ditenangkan oleh beberapa wakil surau.
“Farah ketika itu agak terkejut dengan kehadiran saya. Dia kemudian menangis, memohon maaf dan merayu supaya saya tidak menceraikannya memandangkan anak-anak masih kecil.
“Tetapi saya tidak mahu menjadi seorang suami yang dayus. Jadi, saya memilih untuk melafazkan cerai talak tiga di depan beberapa saksi daripada wakil surau,” ceritanya.
Talak tiga ini disebut juga dengan talak ba’in kubraa. Talak jenis ini tidak dapat dirujuk dan tidak dapat dinikahkan kembali melainkan setelah bekas isteri menikah dengan orang lain.
Menurut Hamid, dia memilih untuk mengesahkan perceraian di depan hakim mahkamah syariah, selain menuntut hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka.
“Sewaktu perbicaraan perceraian, hakim ada menegaskan bahawa curang dalam rumah tangga merupakan satu dosa besar yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Dalam rumah tangga ini tak semuanya indah, tetapi kenalah bertolak ansur dan memahami pasangan masing-masing,” ujarnya yang masih menduda.















