fbpx
MOHAMAD AZIZI masih menyimpan nota mengandungi perkataan-perkataan bahasa asing yang dicatatnya sebelum ini.

[VIDEO] Tukang sapu fasih tutur 11 bahasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING – Peluang berjumpa pelancong dari pelbagai negara setiap hari dimanfaatkan sepenuhnya oleh seorang tukang sapu SWM Environment untuk mempelajari bahasa mereka.

Selepas 12 tahun berkhidmat, Mohamad Azizi Bahuddin, 42, yang mengendalikan kerja-kerja pembersihan di sekitar pusat bandar dan kawasan tumpuan pelancong di Mersing kini boleh berbangga apabila mampu bertutur dalam 11 bahasa.

Antara bahasa asing yang dikuasai oleh Mohamad Azizi ialah bahasa Jerman, Sepanyol, Itali, Jepun, China, Holand, Norway, Denmark, Ukraine, Republik Czech dan Rusia.

Katanya, minat untuk belajar bahasa asing itu bermula selepas dia melihat ramai pelancong le­bih gemar bertutur dalam bahasa­ negara mereka sendiri berban­ding bahasa Inggeris.

“Sebelum pandemik Covid-19 wujud, sebagai tukang sapu saya memang sering berjumpa pelancong asing yang mahu bercuti. Mereka banyak menghabiskan masa di terminal pengangkutan awam Mersing ini sementara menunggu ‘trip’ mereka untuk ke pulau-pulau berhampiran.

“Saya juga selalu ditegur dan dirujuk oleh pelancong asing untuk mendapatkan maklumat pelancongan setempat sehingga membolehkan saya bertutur secara asas bahasa negara asing.

“Tambahan pula, apabila saya menegur mereka dengan bercakap dalam bahasa Inggeris, mereka tidak terlalu gemar dan tidak layan terutama pelancong dari Rusia,” katanya ketika di­temui Kosmo! di sini kelmarin.

Menurut Mohamad Azizi lagi, dia mengambil masa dua tahun untuk mengasah kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa lain.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, tidak dinafikan bahasa asing mempunyai nada sebutan yang berlainan yang membuatkan ia agak sukar untuk dipelajari.

“Setiap kali berbual dengan pelancong, saya akan catat perkataan yang ditutur di kertas agar tidak lupa. Setakat berborak tentang hal yang asas itu saya boleh.

“Kemahiran yang diajar ini akan saya tambah baik agar memudahkan saya berkongsi maklumat pelancongan, membantu pelancong luar dan memberi gambaran positif mengenai dae­rah Mersing di samping tanggungjawab utama saya iaitu untuk menjaga kebersihan di kawasan ini,” katanya yang pernah mene­rima anugerah pekerja cemerlang daripada SWM Environment.

Mengulas lanjut, Mohamad Azizi mengakui, suasana ketika ini agak suram ekoran ketiadaan pelancong gara-gara Covid-19 sejak lebih setahun yang lalu.

“Saya hanya berharap wabak ini cepat berakhir dan Mersing akan kembali ceria seperti sebelum ini,” jelasnya. -K! ONLINE

POPULAR