fbpx

RM1.5 bilion naik taraf sekolah daif di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad

PETALING JAYA – Kerajaan telah meluluskan 186 projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di Sarawak dengan kos berjumlah RM1.579 bilion bagi tahun 2019 sehingga tahun 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, sejumlah 75 projek telah diluluskan untuk pelaksanaan projek berkenaan dengan kos berjumlah RM827.1 juta bagi tahun 2019.

“Sehingga 22 September lalu, sebanyak 29 projek telah siap dibina, 41 projek sedang dalam pembinaan manakala lima projek lagi dalam fasa pra bina dengan perbelanjaan berjumlah RM168.45 juta.

“Kementerian Pendidikan telah mendapat kelulusan sebanyak 59 projek dengan kos berjumlah RM402.71 juta bagi tahun 2021 dengan kesemua projek masih pada peringkat pra bina dan tiada perbelanjaan dibuat setakat ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung berapa banyak sekolah daif di Sarawak telah dinaik taraf dan dipulihkan dari 2019 hingga 2021 serta status pelaksanaan dan perbelanjaan projek-projek terlibat.

Mohamad berkata, seramai 4,027 murid telah mendapat manfaat daripada 29 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif yang telah siap.

Tambahnya, dijangka seramai 32,141 murid lagi akan menerima manfaat daripada 157 projek yang masih dalam peringkat pembinaan dan pra bina.

Dalam pada itu beliau berkata, Pendidikan Islam (PI) telah ditetapkan sebagai mata pelajaran teras yang mesti dipelajari semua murid beragama Islam sekolah rendah dan sekolah menengah di sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan serta sekolah swasta.

Menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai usaha-usaha yang telah dibuat untuk menjadikan mata pelajaran PI sebagai mata pelajaran teras bagi pelajar beragama Islam, Mohamad berkata, ia termaktub di bawah Seksyen 50 (1) Akta Pendidikan 1996.

“Pentaksiran subjek PI adalah melalui Pentaksiran Bilik Darjah untuk semua peringkat persekolahan manakala bagi peringkat menengah rendah, pentaksiran pusat dibuat melalui Pentaksiran Tingkatan Tiga.

“Sementara itu, bagi peringkat menengah atas, peperiksaan pusat dilaksanakan melalui Sijil Pelajaran Malaysia,” jelasnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI