fbpx

AS akui serangan dron di Kabul sebagai kesilapan tragis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan jenis Toyota milik Zemerai yang disasarkan tentera AS. - Sky News

WASHINGTON – Komander tentera Amerika Syarikat (AS), Jeneral Kenneth McKenzie mengakui telah tersilap melancarkan serangan dron ke atas Kabul yang mengorbankan 10 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak dan menyifatkannya sebagai satu ‘kesilapan tragis’, lapor stesen penyiaran Sky News semalam.

Menurut McKenzie, tiada kemungkinan yang mengaitkan mereka yang terkorban dalam serangan 29 Ogos itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, yang merupakan ancaman kepada tentera AS.

“Serangan tersebut adalah untuk mengelak ancaman kepada tentera dan pelarian di lapangan terbang. Namun, ia merupakan satu kesilapan dan saya memohon maaf.

“Sebagai komander pasukan, saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas serangan ini dan akibatnya,” katanya.

Beliau selain itu turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dan menambah Pentagon sedang mempertimbangkan pemberian pampasan.

Sebelum serangan itu, tentera AS mengesan sebuah kenderaan Toyota putih yang berlegar di kawasan lapangan terbang selama lapan jam dan melihat beberapa individu membawa masuk barangan ke dalam kenderaan itu yang disangka bahan letupan.

Risikan oleh akhbar New York Times mendapati ia sebenarnya adalah air minuman.

Pemandu kenderaan tersebut ialah Zemerai Ahmadi, 37, yang bekerja untuk organisasi bukan kerajaan, Nutrisi dan Pendidikan Antarabangsa.

Zemerai bersama lapan anak dan seorang saudaranya terbunuh akibat serangan itu.

“Kami mendapat tahu bahawa Zemerai tidak mempunyai pertalian atau kaitan dengan Daesh.

“Kami memohon maaf dan akan menanggung kesilapan yang teruk ini,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI