fbpx

Lindungi pesalah trafik, penghantar makanan didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penghantar makanan disyaki membawa lari pesalah trafik yang terlibat dalam satu kes kemalangan maut di Jalan Mahameru pada 14 Ogos lalu mengundang padah selepas dia ditahan polis kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, suspek telah ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 7.31 petang.

“Hasil siasatan, lelaki terbabit adalah orang yang telah membawa lari pesalah yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan mengelakkannya daripada dikenakan hukuman undang–undang.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini untuk dituduh dibawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan. Ini juga merupakan kes pertama di Malaysia yang dituduh di bawah Seksyen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kesalahan melindungi pesalah ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan kerana melindungi seorang pesalah dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun dan dikenakan denda bagi kesalahan di atas.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur memandang serius perkara ini dan memberi amaran serta peringatan supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membawa lari orang yang terlibat dengan kemalangan maut dengan tujuan untuk melindungi pesalah tersebut,” jelasnya.

Pada 14 Ogos, satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja melanggar dua buah lori yang sedang berhenti di lorong kanan bagi kerja penurapan jalan di Jalan Mahameru.

Dalam kemalangan itu, seorang lelaki iaitu pekerja syarikat pembaikan jalan telah maut di tempat kejadian, manakala dua lagi pekerja syarikat sama telah cedera dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu disyaki berlaku apabila pemandu kereta berkenaan telah melanggar papan amaran yang diletakkan di belakang lori.

Kereta tersebut kemudian terbabas ke kawasan pembaikan jalan serta melanggar sebuah lori dan mesin ‘stroller’. Akibat dari pelanggaran itu mesin tersebut telah terpelanting dan terkena tiga pekerja berkenaan. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI