SHAH ALAM – Seramai 208 pemain golf amatur berentap di Kelab Golf Glenmarie di sini kelmarin bagi merebut Trofi Mazda 2026 yang memasuki edisi kelima tahun ini.
Acara tahunan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu jemputan dan ahli kelab Glenmarie.
Pemain terutama jemputan gembira dan berpuas hati beraksi di Kelab Golf Glenmarie yang terkenal dengan padangnya yang baik dan green yang licin.
Terdapat lima kategori dipertandingkan iaitu kategori Gross dan Nett, Medal A, B, C dan Wanita.
Juara Gross kali ini menjadi milik pemain handikap 0, Muhammad Hafizullah Moithu Kutty dengan catatan 73 pukulan keseluruhan. Tempat kedua pemain handikap 6, Alias Anuar (74 pukulan) dan ketiga pemain handikap 8, Ahmad Suhaimi Yaacob (75 pukulan).

Bagi kategori Nett, Chua Yong Hua yang bermain pada handicap 16 dinobatkan sebagai juara selepas dengan 64 pukulan Nett.
Pemain handicap 8, Ir Abi Sufyan Zaiunudin merangkul gelaran juara Medal A selepas mengumpul 67 pukulan Nett, diikuti pemain handikap 12, Abdul Razak Hashim dengan 69 pukulan Nett di tempat kedua dan pemain handikap 11, Datuk Hazman Ahmad dengan 70 pukulan Nett (OCB) di tempat ketiga.
Kerusi juara bagi Medal B pula diduduki oleh pemain handikap 16, MJ Logaa S dengan 65 pukulan Nett. Tempat kedua menjadi milik pemain handikap 18, Mohamed Shukry Ramli (67 pukulan Nett, OCB) disusuli pemain handikap 17, Mohd. Azman Mohd. Yakim (67 pukulan Nett).
Takhta Medal C digenggam oleh pemain handikap 21, Datuk Jamil Osman dengan 69 pukulan Nett, diikuti pemain handikap 20, Lim Boon Swee (71 pukulan OCB) di tempat kedua dan Tan Heng Chuan yang bermain pada handikap 20 di tempat ketiga (71 pukulan).
Sementara itu, bagi kategori Wanita pula, pemain handikap 36, Lim Si Ying dinobatkan sebagai juara apabila berjaya selepas merekod 68 pukulan Nett.
Pemain handikap 21, Mastura Aseli dan pemain handikap 19, Datin Seri Norhidayah Azmi terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga selepas masing-masing merekod 70 dan 71 pukulan.
Juara Gross dan Nett membawa pulang hadiah berupa baucar AEON bernilai RM1,000 dan Trofi Mazda.
Tempat kedua dan ketiga kategori Gross membawa pulang baucar AEON bernilai RM800 dan RM700 serta trofi.
Manakala juara Medal A, B, C dan Wanita pula meraih baucar AEON berjumlah RM800 dan Trofi. Manakala pemenang di tangga kedua dan ketiga masing-masing turut memenangi baucar AEON bernilai RM700 dan RM600 serta trofi.
Hadiah baucar AEON bernilai RM100 turut diberi kepada setiap pemenang bagi kategori Novelty yang dipertandingkan. Namun pada kejohanan edisi kelima ini, tiada seorang pun pemain yang berjaya melakukan pukulan Hole In One yang menawarkan hadiah berupa sebuah kereta Mazda dan set golf.














